Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

1 cedera, 2 sesak nafas akibat kebocoran gas

27 FEB: Tiga pekerja kontrak cedera dalam kejadian kebocoran gas di bilik janakuasa di aras bawah tanah sebuah bank di Jalan Sultan Ismail, petang ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur (JBPMKL), Khirudin Drahman berkata dalam kejadian 3.52 petang itu, seorang daripada mangsa cedera di kepala manakala 2 lagi menghadapi masalah sesak nafas.

“Sewaktu kejadian 3 pekerja itu diarahkan untuk menukar tabung gas karbon dioksida di tempat kejadian,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata susulan kejadian itu sepasukan anggota Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dikerahkan ke lokasi kejadian manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Turut dikerahkan 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dan Jalan Tun Razak.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan JBPMKL Ruhisha Haris berkata kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mangsa sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan untuk mengeluarkan generator set lama bagi ditukar dengan yang baharu.

“Ketika mereka sedang mengeluarkan generator set lama tanpa disedari telah melanggar 14 tabung gas karbon dioksida (Co2) menyebabkan semua tabung itu bocor dan mengeluarkan gas. Ketiga-tiga mangsa terhidu gas dan terdedah kepada gas menyebabkan badan semua mangsa berasa lemah sebelum pitam di lokasi kejadian,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian.

Ruhisha berkata kejadian berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan unsur jenayah mahupun sabotaj, tetapi dipercayai berlaku kecuaian ketika mengendalikan gas berkenaan.

“Keadaan di bilik janakuasa itu dilaporkan selamat dan terkawal manakala ruang pengudaraan bilik berkenaan bebas daripada gas Co2,” katanya.

Beliau berkata kejadian berkenaan disedari oleh petugas penyelenggaraan yang berada di tingkat yang sama selepas melihat 3 mangsa pitam.

“Saksi (petugas penyelenggaraan) terdengar bunyi pecah yang kuat dari bilik janakuasa dan melihat 3 mangsa pitam lalu menghubungi bomba,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 February 2018 10:53 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: