Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

10 ahli PAS masuk UMNO

1 DIS: Seramai 10 ahli PAS antara 45 individu di cawangan Batu Hampar menyerahkan borang keahlian baru UMNO malam tadi kepada Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Penyerahan borang itu diketuai oleh bekas Timbalan Dewan Ulamak PAS Cawangan Batu Hampar, Azizul Aziz.

Tajul Urus berkata, kemasukan ahli baharu itu menunjukkan UMNO masih relevan dan akan terus diminati oleh masyarakat dalam senario politik hari ini.

“UMNO tidak pernah lari daripada landasan perjuangan iaitu untuk membangunkan bangsa Melayu dan juga untuk mengembangkan seterusnya menguatkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Walaupun ada parti yang mengatakan mereka adalah parti Islam tetapi sanggup bekerjasama dengan DAP akhirnya baru sedar dan berpatah balik.

“Namun, UMNO sepanjang masa berpegang kepada perjuangan iaitu ketuanan Melayu dan keagungan Islam,” katanya pada Majlis Perasmian Telaga Tiub Kampung Batu Hampar dan Penyerahan Borang Ahli Baru UMNO Cawangan Baru di Dewan UMNO Batu Hampar malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, hampir keseluruhan daripada 41 pusat daerah mengundi (PDM) bahagian Merbok sudah mula beroperasi bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

“Kita sudah mula membuat persediaan bilik gerakan PDM dengan mengadakan mesyuarat bagi mengatur langkah dan strategi menjelang PRU akan datang” katanya.

Sementara itu, Azizul ketika ditemui berkata, beliau keluar daripada parti berkenaan atas kerelaan sendiri selepas melihat komitmen yang ditunjukkan UMNO dalam menjaga kebajikan orang Melayu.

“Saya terdetik untuk menyertai UMNO selepas melihat situasi PAS sudah tidak seperti dulu berbeza.

“Saya yakin selepas ini akan ada gelombang kedua penyertaan ahli PAS ke dalam UMNO berikutan perpecahan yang berlaku,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 December 2017 11:01 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: