Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

10 juta tan bauksit: Kementerian tidak layan rayuan

13 OGOS: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan terus memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan perlombongan bauksit haram di Pahang.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementerian tidak akan melayan sebarang rayuan atau permintaan untuk campur tangan dalam siasatan SPRM yang sedang berjalan.

Wan Junaidi mengulas laporan bertajuk ‘SPRM Akan Sita Lebih 10 Juta Tan Bauksit di Pahang’ yang disiarkan semalam.

Beliau juga berkata pengusaha perlombongan bauksit berkenaan gagal mematuhi moratorium yang dikenakan oleh kerajaan sejak Januari tahun lalu.

Menurut Wan Junaidi kementeriannya telah mengeluarkan banyak peringatan menerusi telefon dan juga media kepada mereka.

Semalam SPRM menegaskan akan menyita keseluruhan simpanan stok (stockpile) bauksit di Pahang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata tindakan itu dibuat mengikut Seksyen 33 Akta SPRM 2009 bagi menghalang bahan tersebut dibawa keluar dari tempat penyimpanannya untuk tujuan perniagaan atau apa-apa tujuan lain.

Sehingga kini, dianggar terdapat lebih 10 juta tan metrik bauksit yang telah dilombong serta disimpan di stockpile di beberapa lokasi di Pahang.

SPRM juga katanya telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) bagi mencadangkan pihak kementerian terbabit mengkaji semula pengeluaran Permit Kelulusan (AP) kepada pengusaha lombong bauksit serta membatalkan kesemua AP yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Share This:




Berita Bertarikh pada 13 August 2017 10:27 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]