Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

10 tahun PKR terajui Selangor 10 kegagalan besar

26 MAC: ADUN Barisan Nasional (BN) hari ini menyenaraikan beberapa kegagalan besar kerajaan negeri pimpinan PKR sepanjang 10 tahun menerajui Selangor.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata senarai kegagalan itu adalah hasil penelitian partinya terhadap prestasi PH dan PAS sepanjang tempoh dua penggal memerintah negeri itu.

“Kita buat rumusan selama 10 tahun ini, 10 kegagalan yang kita dapat lihat dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Kita kesal kerana selama mereka menerajui kerajaan ini, 10 tahun juga perkara besar.

“Yang paling besar sekali dua tiga tahun kebelakangan ini,” katanya dalam sidang media selepas perasmian pembukaan Sidang DUN Selangor bagi penggal ke-6, hari ini.

Antara kegagalan terbesar kerajaan negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah gangguan bekalan air yang menjejaskan lebih 1 juta pengguna sekitar Lembah Klang.

“Yang pertama ialah dalam isu air. Cara mereka menguruskan isu air itu sangat mendukacitakan.

“Hari ini pun kita dapat dengar dari titah Tuanku di dewan yang Amat Mulia pun merasa amat duka cita kerana isu air ini masih tertangguh dan tidak dapat diselesaikan dengan sempurna,” ujarnya.

Dalam ucapan pembukaan sidang DUN Selangor hari ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyentuh soal krisis air perkhidmatan negeri.

Baginda menitahkan kerajaan negeri memuktamadkan segera proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air bersama Kerajaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Nadzari juga mendakwa kerajaan negeri dilihat terus gagal memartabatkan bidang pendidikan dalam melaksanakan gagasan ‘pendidikan percuma’ seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Mereka juga sering berjanji dalam dewan. Mereka sampai 10 tahun mentadbir, masih lagi belum nampak pendidikan percuma. Saya bagi contoh di Unisel atau di Sekolah Rendah Agama (SRA) dibawah bidang kuasa mereka masih lagi tidak mempunyai pendidikan percuma,” tambahnya.

Kerajaan negeri PH-PAS turut gagal memperkasakan institusi Islam di Selangor, ujar Mat Nadzari.

“Sampai hari ini impian kita untuk melihat institusi atau ketua agama Islam atau institusi mahkamah syariah dinaik taraf atau ditingkatkan martabat tidak dapat.

“Dua kali kita punya usul ditolak di dalam dewan,” tegasnya.

Tegas Nadzari yang juga merupakan ADUN Batang Kali, segala apa yang dikecapi kerajaan negeri merupakan ‘legasi’ pentadbiran kerajaan BN dahulu.

“Sebahagiannya bukan main-main pun, PKNS kita yang buat. Objektif nya di zaman kami. Yayasan Selangor di zaman kami. Kami yang buat asas dia semua. Cuma sampai kepada mereka, gagal ditadbir 10 ini, kenapa?

“Air ini kami yang bawa dulu, ada pula Loji Rawatan Air Langat 2 kami yang laksana. Proses pembaikan kami yang bawa banyak, cuma hari ini tidak berjalan dengan baik,” tegas Nadzari.

Beliau juga mendakwa kerajaan negeri tidak mencapai sasaran apabila gagal membina 150,000 rumah mampu milik dan banyak lagi.

Justeru, Mat Nadzari berkata BN kini begitu tekad untuk merampas kembali Selangor dari pembangkang pada PRU14.

BN kehilangan Selangor sejak dua penggal lalu selepas hanya menang 20 kerusi DUN berbanding PKR 15, DAP 12 dan PAS 8, pada PRU 2008.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 March 2018 5:01 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: