Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

1,000 ahli PPBM Perak keluar parti

26 MEI: Lebih 1, 000 ahli termasuk 50 pemimpin peringkat negeri dan bahagian PPBM Perak mengumumkan peletakan jawatan dan keluar parti berkuat kuasa serta merta hari ini.

Antara yang bertindak demikian termasuk Ketua Bahagian PPBM Ipoh Timur, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar dan Ketua Bahagian PPBM Teluk Intan, Jemaat Yaacob serta lapan bahagian lain.

Menurut Azrul Suhadi, tindakan itu dibuat sebagai tanda tidak gilakan jawatan dan tidak mahu lagi bekerjasama dengan parti yang dipimpin Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Keputusan ini kami lakukan kerana telah muak dengan kemelut dan pergolakan dalaman parti yang sengaja ditimbulkan Muhyiddin.

“Kami juga ingin mengingatkan pemimpin PPBM supaya bermuhasabah dan jangan menunding jari kepada pihak lain terhadap apa yang berlaku kepada PPBM ketika ini. Ini semua kerana tindak tanduk mereka.

“Kami yakin ramai lagi akan meninggal parti selepas ini.

 

“Ada yang sangat tidak kena di dalam pentadbiran PPBM dan semua insiden ini tidak pernah diambil perhatian malahan Presiden juga seolah-oleh tidak peduli langsung dengan permasalahan dalaman parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan peletakan jawatan berkenaan di Ipoh, hari ini.

Kira-kira 50 ahli jawatankuasa negeri dan bahagian termasuk dua Ketua Bahagian yang dilantik pimpinan pusat termasuk beliau sendiri selaku Ketua Pendaftar dan Ketua Bahagian Ipoh Timur serta Ketua Bahagian Teluk Intan, Jemaat Yaacob, turut hadir.

Selain itu, turut hadir adalah lapan lagi Ketua Bahagian yang sepatutnya dilantik dan dipersetujui pimpinan pusat tetapi tidak menerima watikah pelantikan oleh pimpinan negeri.

Azrul Suhadi berkata, presiden perlulah lebih prihatin dan menjalankan amanah dengan profesional dan jangan terlalu sombong dan ego dengan selalu menggunakan perkataan ‘ini kuasa saya’.

Beliau berkata, keputusan beliau dan jawatankuasa meletakkan jawatan dan keluar parti itu juga tidak ada kena mengena dengan sesiapa dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Katanya, tindakan keluar parti beramai-ramai itu dibuat sebagai tanda mereka tidak gilakan jawatan dan sudah tidak mahu lagi bekerjasama dengan PPBM yang dipimpin Muhyiddin sebagai presiden.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 May 2017 5:55 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: