Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Taklimat MH370 untuk waris penumpang China berlangsung baik

2 APR: Perjumpaan dan sesi taklimat tertutup dengan 29 anggota keluarga penumpang pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) warga China di Putrajaya hari ini disifatkan lancar dan baik.

Ketua Pengarah, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, semasa perjumpaan tertutup tiga jam itu, beliau dan beberapa agensi berkaitan dapat menjawab persoalan yang dibangkitkan anggota keluarga terbabit.

DCA-DG Datuk Azharuddin Abdul Rahman

Datuk Azharuddin Abdul Rahman
Ketua Pengarah DCA

“Ia berjalan dalam suasana yang baik dan kami menjawab semua soalan yang dibangkitkan dan anggota keluarga (nampaknya) berpuas hati setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan itu yang berlangsung di Hotel Bangi-Putrajaya.

Ketika diminta mengulas lanjut berhubung perjumpaan itu, Azharuddin berkata beliau tidak dapat mendedahkan sebarang butiran tentang perjumpaan itu namun akan mengeluarkan kenyataan akhbar berhubung perjumpaan itu petang ini juga.

Perjumpaan hari ini turut dihadiri wakil khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting, Duta Besar China di Malaysia Huang Hui Kang, pasukan penyiasat termasuk wakil Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebelum itu, Huikang yang memanggil sidang media di kedutaan China di Kuala Lumpur berkata, kemarahan dan luahan emosi melampau yang dizahirkan oleh segelintir rakyat China, terutamanya waris 153 penumpang pesawat MH370 berpunca dari laporan tidak berasas dan berunsur fitnah yang dibuat media asing.

Huikang, yang kali pertama bertemu media khusus bagi bercakap soal MH370 berkata, kerajaan China tidak pernah sesekali menuding jari menyalahkan atau menyatakan rasa marah terhadap Malaysia selama ini, malah menganggap kejadian ini mengeratkan lagi hubungan yang sedia ada.

DutaBesarChina Huang Hui Kuang

Huang Hui Kuang
Duta Besar China ke Malaysia

“Kami tidak pernah langsung marah dengan kerajaan Malaysia malah menghargai setiap usaha mereka dalam mencari pesawat hilang ini.

“Kami terhutang budi dengan dedikasi yang ditunjukkan oleh kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini. Kami langsung tidak marah,”

“Media asing telah melaporkan berita yang tidak berasas, sekali gus telah mencetuskan kontroversi.

“Di sini kami menggunakan peluang untuk membuat kenyataan menerusi media bahawa laporan yang tidak berasas itu telah memburukkan lagi situasi serta menyebabkan emosi waris semakin terganggu.

“Laporan tersebut juga telah menyebabkan hubungan baik China-Malaysia terjejas sedangkan apa yang pihak Malaysia telah lakukan kepada waris penumpang adalah sangat baik.

“Mereka menjaga rakyat kami dengan baik dan kami ingin berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana telah bekerja keras semenjak hari pertama,” kata Huikuang.

Tambah Huikang, kerajaan China memahami bahawa tragedi yang berlaku itu adalah sesuatu yang tidak pernah diduga dan bukanlah perkara biasa dalam industri penerbangan awam.

Malah katanya, tidak adil meletakkan beban di bahu Malaysia sahaja sedangkan pesawat itu turut membawa 50 rakyat Malaysia selain membawa 189 penumpang rakyat daripada 13 buah negara lain.

Ini bermakna banyak pihak perlu mengembeleng tenaga bagi memastikan usaha pencarian pesawat yang hilang sejak lebih tiga minggu lalu dijumpai, tambah beliau.

Menurut Huikang, China sendiri telah menggerakkan aset-asetnya bagi menyertai misi mencari dan penyelamat (SAR) terbesar dalam sejarah negara itu sejak hari pertama lagi dan berhasrat untuk menambah aset-asetnya.

“China dan Malaysia adalah satu keluarga, kita adalah rakan baik dan kita juga adalah jiran tetangga. Kami amat menghargai hubungan yang telah terjalin selama ini dan diharapkan selepas tragedi yang menyedihkan ini, hubungan di antara rakyat Malaysia dan China akan semakin erat.

“Tahun ini kita akan menyambut ulang tahun ikatan diplomatik yang ke-40 dan pelbagai program serta aktiviti telah diatur bagi meraikannya,” tegas Huikuang.

Sejak dari hari pertama lagi, media-media asing memaparkan pelbagai laporan dan gambar yang menunjukkan emosi keluarga penumpang dari China sangat terkesan disebabkan insiden ini.

Kesedihan yang ditunjukkan mereka akhirnya membawa kepada kemarahan sehingga sanggup melemparkan botol kepada sukarelawan Malaysia, mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di China selain merempuh pusat media di Hotel Sama-Sama, Sepang sambil menjerit dan menangis.

Huikang juga meminta semua pihak memahami tujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan perkataan “berakhir” ketika menjelaskan kehilangan pesawat MH370.

Menurutnya, beliau memahami Najib telah secara berhati-hati memilih menggunakan perkataan berakhir pada sidang media 24 Mac lalu.

“Kenyataan itu memberi pelbagai makna dan kadang-kala disalah tafsir. Ada yang anggap ia bermaksud sebagai kehilangan, ada yang memahami sebagai terhempas, ada yang mentafsir tidak ada yang selamat.

“Saya faham Perdana Menteri (Najib) berhati-hati memilih perkataan. Tujuannya hanya untuk menggelakkan sebarang makna yang menyakitkan kepada keluarga penumpang,” jelas Huikang.

“Kalau anda menyatakan secara terbuka bahawa pesawat terhempas dan tidak ada yang terselamat, ini akan memberi kesan mendalam kepada keluarga,” kata Huikang.

Tegas beliau, semua pihak tidak sepatutnya terlalu fokus kepada makna perkataan berakhir, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mencari.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 2 April 2014 6:49 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: