Kategori Berita Utama

‘Council Home’ dibina untuk bantu wargakota miliki rumah

16 MEI: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) merancang lebih banyak rumah ‘council home’ atau rumah disewa bagi membantu rakyat terutamanya generasi muda memiliki rumah sendiri.

Menterinya Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan, council home dapat membantu wargakota untuk memiliki rumah sendiri memandangkan kos menyewa di Kuala Lumpur ini terlalu tinggi.

Ujarnya lagi, council home memberi kemudahan wargakota yang belum memiliki rumah dengan menggunakan konsep menyewa sambil menabung sebelum berjaya memiliki rumah sendiri.

“Council home telah dapat sambutan yang tinggi baru ini dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Sungai Udang.

“Kita akan sewa RM800,mereka sebenarnya hanya membayar RM500 untuk sewa dan RM300 adalah untuk kos tabungan.

“Mereka ini akan dibenarkan tinggal di rumah council selama 5 tahun, duit RM18,000 ini akan dipulangkan kepada mereka dan kita akan aturkan mereka untuk membeli Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) yang akan kita bangunkan,” jelasnya.

Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan bercakap kepada media pada Majlis Pecah Tanah dan Pengundian RUMAWIP di Residensi Enesta, Kepong, pada Selasa.

Menurutnya lagi, selepas kejayaan kerajaan membina 1200 unit rumah council di Sungai Udang, KWP melalui DBKL sudah mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membina rumah jenis tersebut.

“Kita akan lancarkan council home untuk anak muda satu di Sungai Besi dan satu di Lembah Pantai tidak lama lagi.

“Kita akan sewakan sebanyak RM600 sebulan tetapi unit ini lebih kecil sesuai untuk graduan atau yang pasangan yang baru berkahwin kerana ada 2 bilik sahaja.

“RM300 untuk sewaan dan selebihnya untuk tabungan. Selepas 5 tahun kita akan pulangkan kepada mereka untuk deposit membeli rumah lain,” ujarnya lagi.

Menurutnya, kerajaan sentiasa sedar dengan kos tinggi untuk menyewa rumah di Kuala Lumpur, justeru itu pembinaan council home membuktikan kerajaan tetap mengambil berat terhadap permasalahan rakyat di bandar.

“Saya telah bincang dengan Datuk Bandar, kita akan bangunkan rumah council home selain RUMAWIP di Bandar Tun Razak dan Wangsa Maju.

“Kita sedar kepada kehendak wargakota untuk menyewa dahulu sebelum berjaya membeli rumah. Kerajaan akan bantu mereka dan mencari jalan untuk mereka memiliki rumah.

“Kos penyewaan rumah terlalu tinggi dan rakyat tak mampu. Ini bukan rumah PPR, tetapi ini rumah yang lengkap dengan kemudahan kolam renang, tempat membeli belah, mempunyai kemudahan bersukan dan sebagainya,” katanya lagi.

Mengulas lanjut tentang majlis tadi, Ku Nan menggesa orang Melayu dan Bumiputra untuk merebut peluang memiliki RUMAWIP.

“Hanya 25 orang Melayu dari 125 kouta membeli RUMAWIP di Enesta ini. India pula tak sampai 1 peratus.

“Saya merayu kepada kaum Melayu dan India untuk mengambil kesempatan memiliki rumah yang bernilai RM300,000 mempunyai kemudahan seperti kondominium.

“Jika perkara ini berlaku, maka pemaju terpaksa membuka lebih banyak kuota kepada kaum tionghua yang dilihat amat berminat untuk mendapat rumah ini,” katanya.

Sebanyak 254 unit RUMAWIP Residensi Enesta Kepong akan dibina dan dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020.

Residensi Enesta ini mempunyai 42 tingkat dengan keluasan setiap unit ialah 803 kaki persegi merangkumi 3 bilik tidur dan 2 bilik air.

Antara kemudahan yang bakal dibina ialah kolam renang, gelanggang serbaguna, tadika, surau, gimnasium, padang permainan dan pondok pengawal keselamatan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 May 2017 3:39 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: