Kategori Tragedi MH370

122 objek ditemui sedang diteliti sama ada berkait MH370

26 MAC : Penemuan 122 objek di Lautan Hindi menjadi petunjuk baru kepada pasukan mencari pesawat MH370 yang disahkan penerbangannya berakhir di kawasan laut berkenaan .

Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein objek itu dicerap melalui satelit Agensi Pertahanan dan Angkasa Airbus dari United Kingdom (UK).

Katanya objek-objek yang bertebaran di kawasan seluas 400 kilometer persegi itu terletak 2,357 kilometer dari Pearth, Australia.

Objek-objek itu ada yang berwarna putih dan objek terpanjang adalah 23 meter.

hishampcmas

Hishammuddin

“Ada di antara objek itu kelihatan berkilat, mungkin menunjukkan objek pejal,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan terbaru operasi SAR MH370 di PWTC, Rabu.

Bagaimanapun, buat masa ini kata Hishammuddin belum dapat dipastikan sama ada ia benar-benar daripada  MH370 yang hilang itu.

“Namun, kita berharap petunjuk baru ini akan membantu operasi pencarian. Semua objek ini akan dianalisa oleh kerajaan Australia,” katanya.

Selain itu Hishammuddin berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) juga akan menggunakan teknologi dan pendekatan berbeza selepas tamat 30 hari jangka hayat bateri pada kotak hitam pesawat MH370 yang hilang.

Menjawab soalan, Hishammuddin menegaskan apa yang berlaku di hadapan kedutaan Malaysia di Beijing adalah tidak wajar kerana rakyat Malaysia dan banyak lagi warga negara lain yang berada dalam pesawat itu.

Malah beliau meminta rakyat China agar rasional dan jangan menyalahkan kerajaan negara ini kerana Malaysia juga turut kehilangan orang tersayang.

Dalam kejadian pada Selasa, kira-Kira 200 anggota keluarga 154 penumpang warga China berarak dengan membawa sepanduk di depan Kedutaan Besar Malaysia bagi melahirkan kekecewaan mereka berkaitan berita tentang nasib pesawat.

Namun kanta Hishammuddin, hubungan diplomatik antara Malaysia dan China tidak terjejas disebabkan insiden ini walaupun keluarga warga China menyalahkan negara ini.

Katanya, perkara itu terbukti dengan kerjasama erat antara kedua-dua kerajaan dalam mencari pesawat MH370.

“Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke China masih diteruskan pada Mei ini,” kata Hishammuddin.

Najib Tjuga mengadakan perjumpaan dengan Naib Menteri Hal Ehwal Luar China yang juga duta khas Kerajaan China, Zhang Yesui di Parlimen pada Rabu untuk berbincang tentang tindakan seterusnya mengenai usaha mengesan pesawat Boeing 777-200ER yang hilang itu.

Menerusi Facebooknya, Najib berkata dalam perjumpaan itu beliau memaklumkan Malaysia dan China akan terus bekerjasama rapat dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370, yang laluan penerbangannya berakhir di selatan Lautan Hindi.-bnbbc.my

 

 

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 March 2014 8:06 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: