Kategori Berita Utama

PH tak perlu sibuk buat himpunan selesaikan masalah dalaman sendiri dulu

29 JUN: Pakatan Harapan (PH) sewajarnya menyelesaikan kemelut dalam gabungan itu terlebih dahulu daripada sibuk merancang mengadakan himpunan bagi membantah sesuatu perkara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata banyak yang perlu dilakukan oleh gabungan terbabit bagi mengatasi pertikaian dalaman mereka dan bukannya menghabiskan masa dan usaha menganjurkan satu lagi himpunan.“Sebagai contoh, nampaknya tidak ada jawapan jelas mengenai siapa calon perdana menteri jika mereka menang dalam pilihan raya akan datang, belum lagi tentang kabinet bayangan.

“Daripada terus merungut tentang kerajaan yang ada, PH patut menjelaskan kepada rakyat mengapa mereka menganggap gabungan itu adalah pilihan yang boleh diyakini.

“Dengan segala kekeliruan, percanggahan dan perbalahan, PH jauh sekali daripada menjadi kerajaan menunggu,” katanya kepada sebuah portal atas talian Mkini.

Sehubungan itu, Salleh berkata, rancangan PH mengadakan himpunan berkenaan yang dijadual pada September ini adalah taktik mereka mengalihkan perhatian orang ramai daripada masalah dihadapi.

Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan pakatan pembangkang mengadakan himpunan Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi sebagai reaksi mereka kepada saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) AS terhadap aset yang didakwa diperoleh secara salah melalui dana 1MDB.

Rancangan mengadakan himpunan itu diumum Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ahli parlimen PKR Permatang Pauh itu juga mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Bertindak 1MDB yang dianggotai wakil PKR, DAP, Parti Amanah Negara, Parti Sosialis Malaysia dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Kata Salleh, beliau tidak yakin rancangan pembangkang mengadakan himpunan itu akan menarik banyak perhatian rakyat Malaysia yang kini lelah dengan politik, termasuk keadaan semasa pembangkang.

Justeru, katanya rakyat wajar dibiarkan membuat pilihan masing-masing pada pilihan raya akan datang.

Beliau juga menegaskan apa saja yang disebutkan dalam saman DOJ itu adalah dakwaan dan aduan saja.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 29 June 2017 11:43 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: