Kategori Berita Utama

14 didakwa ambil, miliki dadah ketika konsert di Bukit Jalil

18 MAC: Seramai 14 lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Selasa masing-masing atas kesalahan mengambil dadah pelbagai jenis termasuk ada antara mereka memilki dadah semasa konsert Future Music Festival Asia (FMFA) di Stadium Bukit Jalil minggu lalu.

Daripada jumlah itu lima orang, terdiri dari dua lelaki warga Indonesia dan tiga lelaki warga Sudan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mengambil dadah semasa konsert Future Music Festival Asia (FMFA), di Stadium Nasional Bukit Jalil, minggu lepas.

Kompilasi KonsertArifiyanto, 27, dan Angga Diandry Andy dari Indonesia mengaku memasukkan dadah jenis Methamphetamine ke dalam badan sendiri manakala Awap Abdualhafez Alrwfaea Abualhassan, 23, Mohamed Elzain Dafaalla Babiker Khalid, 22, dan Mohamed Abdalla Sayed Mohamed, 23, dari Sudah mengaku memasukkan dadah jenis Kanabis.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Bergerak dan di perkarangan Stadium Bukit Jalil, di ibu negara antara jam 11.50 malam, 13 Mac dan 12.30 tengah malam, 15 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan diwajibkan pengawasan sehingga tiga tahun.

Sembilan lagi warga asing lain yang turut didakwa mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memasukkan dan memiliki dadah jenis pil dan serbuk Ecstacy, Amphetamine dan Kanabis pada waktu dan tempat yang sama.

Mereka ialah Adam Paul, 19, dari Australia; Pavin Akshay, 20, (Mauritius); Muhammad Ahsan, 23, (Pakistan); Fazal Mohamed, 24; Hassan Ibrahim Hayyan, 20, dan Ahmed Hayyan Majeed, 19, (Maldives); Ng Teck Ming, 27, dan Mohamed Redzwan Sali, 26, (Singapura); dan Tinashe Shimbo, 27, (Zimbabwe).

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (2)(a) akta sama, yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau boleh dipenjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan 20 Mac dan 23 April ini untuk sebutan semula bagi kesemua kes berkenaan sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa.

Media sebelum ini melaporkan enam orang maut, termasuk tiga gadis manakala tiga lagi lelaki dalam keadaan kritikal disyaki akibat mengambil dadah berlebihan ketika menghadiri konsert itu.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 18 March 2014 7:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: