Kategori Berita Utama

1411: Sejarah hitam ciptaan pembangkang di Dewan Rakyat

Hampir satu setengah jam masa persidangan Dewan Rakyat pada Khamis 14 November (14/11) dibazirkan dengan kekecohan membabitkan ahli-ahli Parlimen pembangkang yang membantah usul kerajaan mahu menggantung ahli parlimen PKR Padang Serai N.Surendran kerana menghina Speaker.

Suasana Dewan Rakyat tidak ubah seperti ‘pasar borong’ atau ‘sarkas’ dengan ahli parlimen pembangkang berterusan bangun, menjerit termasuk mengoyak kertas usul semata-mata marah dan tidak berpuas hati dengan usul yang dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Nancy Shukri.

DSC_0015

Ahli-ahli parlimen pembangkang bising ganggu Nancy bentang usul

Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee diasak bertubi-tubi oleh ahli parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo dan ahli Parlimen PKR Gombak Azmin Ali yang mempertikai usul tersebut kononnya tidak mematuhi peraturan kerana tidak menyebut peraturan mesyuarat usul itu serta tempohnya kurang sehari.

Beberapa ahli parlimen pembangkang lain termasuk dari PAS Shah Alam, Khalid Samad,  PAS Sepang, Hanipa Maidin, PKR Kapar G. Manivanan serta  DAP Ipoh Barat M.Kulasegaran sengaja mengguna peraturan Dewan untuk menganggu persidangan.

Melihat barisan ahli parlimen pembangkang yang bangun berhujah dan mencelah,  jelas mereka sudah merancang untuk menolak dan membatah usul menggantung Surendran daripada menghadiri persidangan Dewan selama enam bulan.

Ini kerana jumlah kedatangan ahli parlimen pembangkang yang melebihi hari biasa malah Gobind dan Kit Siang yang tidak kelihatan beberapa hari lalu, turut hadir.

DSC_0020

Shahrir…kenyataan Padang Serai bukan saja hina Speaker tetapi parlimen.

Arahan Ronald supaya ahli-ahli Yang Berhormat termasuk kalangan ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) supaya duduk, diam dan mematuhi peraturan tidak dihirau.

Ahli-ahli parlimen Barisan Nasional yang turut bangun menentang tindakan pembangkang antaranya Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin, Lenggong – Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar.

Pengerusi BNBBC yang juga ahli Parlimen Johor Bharu Tan Sri Shahrir Samad turut bangun mencelah mempertahankan pembentangan usul itu kerana Surendran bukan sahaja menghina Speakar, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tetapi Parlimen dan ahli-ahlinya.

Katanya, isu itu memang ada kepentingan awam dan perlu disegerakan tambahan pula Padang Serai membuat kenyataan parlimen kini macam parlimen Robert Mugabe (Presiden Zimbabwe).

“Saya tak terasa ke,..ini tuduhan bukan sahaja hina speaker tetapi Parlimen,” katanya yang kemudian mahu usul itu diluluskan jika pembangkang tidak berminat membahaskannya.

Noh turut mencadangkan perkara sama selepas Nancy meneruskan membaca usul kira-kira jam 12.10 tengahari dalam suasana Dewan yang hinggar binggar jeritan ahli parlimen yang meneruskan bantahan.

Sebilangan besar ahli parlimen pembangkang dilihat mengoyak kertas usul manakala Azmin menjerit mengatakan ‘usul haram…usul haram’ berkali-kali.

Ronald kemudian menetapkan undian belah bahagi untuk menentukan usul itu dipersetujui atau sebaliknya oleh semua ahli-ahli parlimen.

Keputusan undian jam 12.40 itu berkesudahan dengan 92 undi daripada blok Barisan Nasional manakala ahli-ahli parlimen pembangkang tidak mengundi.

Dewan terus kecoh kerana pembangkang tidak berpuashati dengan keputusan timbalan Speaker itu namun Ronald meneruskan persidangan Dewan Rakyat bagi meneruskan mesyuarat peringkat Jawatankuasa bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2014 yang bermula hari ini.

Insiden yang bakal tercatat sebagai  sejarah hitam dalam persidangan Dewan Rakyat mengenai tindak tanduk pembangkang yang ada antaranya peguam tetapi seperti orang tidak tahu undang-undang dalam isu penggantungan terhadap Naib Presiden PKR itu boleh dinilai sendiri dengan menonton video penuh kejadian itu di laman ini. – 14/11/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 November 2013 2:26 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: