Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

5,604 mangsa banjir P.Pinang masih di pusat pemindahan

7 NOV: Seramai 5,604 mangsa daripada 1,341 keluarga yang terjejas akibat banjir di Pulau Pinang, masih ditempatkan di pusat pemindahan dua daerah di negeri itu.

Pengerusi Majlis Tindakan Bencana negeri, Datuk Seri Farizan Darus, berkata sejumlah 44 pusat pemindahan masih dibuka di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) setakat jam 6 petang tadi.

Katanya, semua pusat pemindahan di daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai Selatan (SPS) ditutup sepenuhnya, selepas mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

“Seramai 3,674 daripada 876 keluarga mangsa masih berada di 21 pusat pemindahan di SPU, manakala 1,930 daripada 465 keluarga pula ditempatkan di 23 pusat pemindahan di SPT.

“Semua pusat pemindahan di SPS ditutup pada jam 12 tengah hari tadi,” katanya seperti dilaporkan BH, hari ini.

Hujan lebat berterusan lebih 17 jam sejak 12 tengah hari Ahad lalu, memburukkan lagi banjir di kebanyakan di negeri ini, menyebabkan air naik mendadak dan melumpuhkan sebahagian besar kawasan di Georgetown dan Seberang Perai.

Khamis lalu, kerajaan negeri memaklumkan sebanyak 119 kejadian banjir kilat direkodkan berlaku di negeri ini, sejak tahun 2013 hingga 15 Oktober lalu, dengan masing-masing sebanyak 22 kali pada 2013; 20 (2014); 26 (2015); 30 (2016) dan 21 kes tahun ini.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 November 2017 9:46 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: