Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

150 sukarelawan UMNO jelajah dekati 300,000 rakyat Malaysia

19 MEI: Demi mendekati serta membantu lebih 300,000 rakyat, Biro Kebajikan UMNO (BIKUM) memulakan siri penjelajahannya bermula esok membabitkan 150 sukarelawan ke seluruh negara, sehingga hujung bulan ini.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menyifatkan jelajah ini memberi makna cukup besar kepada parti keramat yang berusia 71 tahun.

Jelasnya, jelajah ini menggunakan 35 kereta pacuan empat roda membabitkan 20 lokasi terpilih bagi fasa pertama dan 50 lagi lokasi untuk fasa kedua.

“Ini adalah program untuk kita jumpa dan dekati rakyat. Ia membabitkan komitmen semua termasuk sayap wanita dan pemuda dengan mesej kita untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus menjadi pilihan rakyat.

“Kita nak buktikan dalam program ini juga bahawa UMNO adalah parti yang membela rakyat dan kami buat bersungguh-sungguh untuk turun ke bawah mendengar denyut nadi rakyat,” katanya ketika majlis pelancaran konvoi dengan tema ‘UMNO Bantu Rakyat’ di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kosas, Ampang, Jumaat malam.

Program tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO.

Hadir sama, Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ketua Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Sementara itu, jelajah berkenaan akan membawa bersama bantuan dan sumbangan khusus untuk golongan memerlukan terutama di kawasan pendalaman.

Antara bantuan yang akan disampaikan termasuk barangan keperluan harian seperti makanan serta lebih 300 hamper khas di setiap kawasan yang dikunjungi.

 

Share This:




Berita Bertarikh pada 19 May 2017 11:35 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]