30 JAN : Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan penguat kuasa undang-undang termasuk di luar negara menerusi saluran sewajarnya, berhubung siasatan mengenai 1MDB.
Pengesahan itu diberikan susulan kenyataan ketua pendakwa raya Switzerland yang secara rasmi meminta bantuan Malaysia dalam siasatannya mengenai kemungkinan berlaku pelanggaran undang-undang Switzerland oleh 1MDB.
Pihak berkenaan mengesyaki ada salah laku berjumlah AS$4 bilion dan sukar meneruskan siasatan jika pihak berkuasa di negara ini sudah menutup siasatan.
Apandi berkata, Malaysia akan menyemak penemuan Switzerland, bersama dapatan pihak berkuasa berkaitan lain dan siasatan dalaman, bagi memastikan tindakan wajar selanjutnya.
Berikut adalah kenyataan penuh Peguam Negara yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.
1. Saya mengambil maklum kenyataan Pejabat Peguam Negara Switzerland, selain kenyataan merujuk kepada Peguam Negara Switzerland oleh sebuah akhbar Amerika Syarikat, berhubung siasatan ke atas dua bekas pegawai 1MDB.
2. Pihak berkuasa Malaysia dan saya berusaha keras dalam mengumpul segala fakta berkaitan 1MDB yang membawa kepada pelbagai dakwaan terhadap syarikat itu. Itu adalah sebab mengapa beberapa siasatan sedang dijalankan termasuk oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Audit Negara.
3. Pihak berkuasa Malaysia termasuk Pejabat Peguam Negara, komited untuk bekerjasama dengan semua entiti penguat kuasa undang-undang menerusi saluran konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang sah. Pada masa sama, 1MDB turut memberi kerjasama setiap kali diperlukan.
4. Berhubung kenyataan terbaru Pejabat Peguam Negara Switzerland, pihak saya akan mengambil segala langkah perlu untuk membuat susulan dan bekerjasama dengan rakan dari Switzerland. Kami menunggu untuk meneliti hasil siasatan dan bahan diperoleh mereka menerusi saluran kebiasaannya. Semua bahan ini akan diteliti, seiring maklumat diperoleh pihak berkuasa berkaitan dan menerusi siasatan kami sendiri, sebelum menentukan tindakan selanjutnya.
5. Siasatan berhubung isu derma kepada Perdana Menteri adalah berbeza dengan siasatan berkaitan 1MDB, walaupun ada laporan media menyatakan sebaliknya. Pejabat Peguam Negara mengkaji secara menyeluruh laporan disediakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seperti diumumkan, tiada bukti salah laku ditemui manakala kes berkenaan diarah ditutup.
6. Sebarang percubaan oleh organisasi media untuk mengaitkan kedua-dua siasatan itu dianggap tidak bertanggungjawab dan menjejaskan keselamatan.
Tan Sri Mohamaed Apandi Ali