Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

TUDM nafi pesawat terhempas bermasalah

19 JUN: Dua kerusi anjal serta serpihan pesawat Hawk 108 M40-02 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas berhampiran Kampung Yak Yah di Chukai, Terengganu, Khamis lalu sudah ditemui.

Dalam satu kenyataan hari ini, Markas Tentera Udara bagaimanapun memaklumkan bahawa operasi mencari serpihan pesawat masih diteruskan dalam usaha melengkapkan siasatan berhubung punca kejadian.

“Keadaan muka bumi dan tanah yang lembut serta berpaya di tapak kejadian menyukarkan operasi ini.

“Bagaimanapun, TUDM sudah mendapatkan bantuan daripada beberapa agensi bagi melancarkan usaha pencarian dan pengumpulan serpihan termasuk Tentera Darat, Rejimen Askar Jurutera Diraja, polis dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE),” katanya.

Pada masa yang sama, TUDM menyangkal dakwaan yang viral di media sosial bahawa pesawat terbabit bermasalah sehingga menyebabkannya terhempas.

“Pesawat Hawk 108 terbabit sudah melalui proses penerbangan pemeriksaan pasca selenggaraan dua hari sebelum nahas itu.

“TUDM tidak akan berkompromi mengenai keselamatan dan kelayakan terbang pesawat serta sentiasa menekankan tahap tertinggi dalam penyelenggaraan pesawat,” tambah kenyataan itu lagi.

Jumaat lalu, pasukan mencari dan menyelamat menemui kedudukan pesawat latihan lanjutan dipandu Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39, dan Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, yang terhempas setengah jam selepas berlepas dari Pangkalan Udara Kuantan pada jam 11 pagi Khamis.

Share This:




Berita Bertarikh pada 19 June 2017 3:38 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]