Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

2 pelajar tahfiz masih kritikal

3 JUN: Dua pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi Kampung Tualang yang terbabit dalam nahas di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, Kelantan semalam masih dalam keadaan kritikal.

Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh, berkata selain mereka, seorang lagi cedera parah, dua cedera ringan manakala dua yang lain sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua dari kanan) melawat mangsa kemalangan, Ahmad Syakir Azfar, 16. di Hospital Kuala Krai.

Beliau berkata salah seorang yang kritikal adalah Muhammad Faiz Hafizuddin Mohamad Izahir, 17, dari Taman Sri Sentosa, Bukit Bidang, Pasir Puteh yang mengalami pendarahan di kepala dan kini ditempatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas mendapat rawatan di Hospital Kuala Krai semalam.

Manakala seorang lagi Ahmad Syakir Azfar Abd Rahim, 16, cedera di abdomen dan kini mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai.

Bercakap hari ini di Kuala Krai, Dr Mohd Salleh berkata seorang lagi pelajar Muhammad Aiman Haikal Mohd Nasir, 17, dari Kampung Lepan Jaya, Gua Musang kini ditempatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu disebabkan cedera parah akibat patah tangan kiri dan kaki kanan.

Beliau sebelum itu mengiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menziarah serta menyerahkan sumbangan kepada dua pelajar Ahmad Syakir Azfar dan Muhammad Syuwari Mana Sikana, 14, di Hospital Kuala Krai.

Menurut Dr Mohd Salleh, pemandu van yang juga guru pengiring kepada kumpulan pelajar itu Muhammad Hamzi Mohammad Husham, 24, yang berasal dari Labok, Machang masih menerima rawatan di Hospital Machang kerana cedera ringan di muka dan bengkak di mata kiri.

“Yang dibenarkan pulang ialah Mohamad Aidil Ismail, 14, dari Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang serta penumpang hadapan van yang juga guru pengiring Muhamad Izat Muhammad Nor, 24, dari Kampung Baka, Machang,” katanya.

Pada semalam nahas yang mengorbankan tujuh pelajar maahad itu ketika mereka bersama lima rakan dan dua guru pengiring dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk menghadiri program berdekatan Stadium Sultan Muhammad IV.

Dalam kemalangan kira-kira 9.40 pagi itu, van yang dnaiki dikatakan terbabas dan terjunam ke dalam tebing sebelum merempuh sebuah rumah.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 June 2017 7:16 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: