Kategori Berita Utama

2018 tahun penentu beri mandat pada wawasan atau perpecahan

31 DIS: Lembaran baharu 2018 bakal menyajikan pilihan kepada rakyat dalam menentukan mandat kepada kerajaan berwawasan atau pihak yang mencetuskan perpecahan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan keputusan untuk memilih kerajaan adalah pertimbangan serius, namun menaruh keyakinan terhadap kebijaksanaan rakyat dalam membezakan antara kaca dan permata.

“Pilihan yang ada di depan rakyat kini adalah kerajaan yang berterusan membanting tulang mengangkat taraf hidup mereka menerusi dasar dan wawasan jelas yang menentukan kemajuan Malaysia dalam jangka pendek serta panjang.

“Pilihan satu lagi adalah pihak yang berkempen secara negatif, menyuntik amarah dan kesedihan orang ramai demi meraih sokongan pengundi, dengan tidak menjanjikan apa-apa kepada rakyat Malaysia melainkan perpecahan dan khayalan bersifat populis hingga bakal merosakkan negara.

“Menerusi kebijaksanaan rakyat, kaca mata mereka mereka mampu membezakan pihak yang menyajikan harapan palsu atau memilih berdasarkan rekod pencapaian demi menjana kepentingan masyarakat,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2018.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia mempunyai pelbagai sebab untuk optimistik dalam memacu momentum kemajuan negara pada 2018 menerusi dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Katanya, Bank Dunia melaporkan ekonomi Malaysia ketika ini berkembang daripada kedudukan yang utuh, sekali gus meletakkan sasaran pertumbuhan memberangsangkan pada 2018 dan penyusutan defisit.

“Semua pihak diharapkan berganding bahu menjayakan matlamat yang selama ini digalas generasi terdahulu. Tugas sama dipikul Allahyarham bapa (Tun Abdul Razak Hussein) dan kini dipertanggungjawabkan kepada saya.

“Kita berupaya menjadi saksi kepada impian yang disemai ‘bapa-bapa’ Malaysia ketika seluruh negara bersatu pasca temasya Sukan Asia Tenggara.

“Inilah Malaysia yang kerajaan dambakan dan akan terus perjuangkan, iaitu negara merangkumi pelbagai kepercayaan, etnik, budaya serta bahasa tetapi bersatu dalam lembayung 1Malaysia untuk diiktiraf seantero dunia.

Najib berkata, Malaysia ingin dilihat sebagai model kedamaian dan kepelbagaian, selain contoh kepada negara membangun dan pelbagai negara maju lain.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu berbangga terhadap pengiktirafan sedemikian, sekali gus menyambut kedatangan Tahun Baharu 2018 dengan kegembiraan dan semangat perpaduan dalam setiap sanubari.

“Semoga tahun baharu membawa kegembiraan, kemakmuran dan keselamatan kepada semua,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 December 2017 7:07 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: