Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

2,262 guru duka lara diluluskan untuk pertukaran

28 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan sebanyak 2,261 permohonan pertukaran kes ‘guru duka lara’ daripada 6,636 keseluruhan permohonan kategori itu yang akan mula berkhidmat di sekolah baharu bulan depan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kelulusan itu adalah bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan seramai 1,421 guru akan ditempatkan di sekolah rendah dan 840 lagi di sekolah menengah di seluruh negara.

“Kita menerima 20,470 permohonan dalam tempoh itu dan daripada jumlah itu sebanyak 2,825 diluluskan iaitu guru kategori kes ‘guru duka lara’ adalah tertinggi mendapat kelulusan iaitu 2,261 guru iaitu 34.1%,” katanya di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap, Kedah, Ahad.

Gambar hiasan seorang guru sedang mengajar murid di sekolah.

“Selain kes guru duka lara, pertukaran atas alasan tempoh perkhidmatan sebanyak 168 orang, permohonan bersama (166), sakit kronik (37), ancaman keselamatan (15) dan lain-lain (178),” kata beliau lagi.

Mahdzir berkata, jumlah kelulusan permohonan penukaran bagi tempoh ini tidak dibuat begitu ramai kerana mengambil kira keadaan guru-guru dan pelajar yang menumpukan proses pengajaran dan pembelajaran.

“KPM ingin menjelaskan pertimbangan kelulusan pertukaran tersebut mengambil kira kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan serta keperluan opsyen selain mengambil kira kelas peperiksaan serta opsyen kritikal seperti Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam di sekolah rendah serta Bahasa Melayu di sekolah menengah,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata seramai 1,175 orang guru baharu akan ditempatkan di sekolah rendah dan menengah di seluruh negara pada Julai ini.

Daripada jumlah itu, 746 akan ditempatkan di sekolah rendah dan 429 di sekolah menengah.

Beliau berkata bagi penempatan baharu ini, semua calon diminta akur dengan penempatan mereka kerana dibuat berdasarkan kepentingan perkhidmatan dan jika enggan boleh dianggap menolak tawaran itu.

“Kali ini kita akan keluarkan surat tawaran sekali dengan penempatan, jika mereka enggan dengan tawaran itu, ini bermakna mereka menolak tawaran itu dan terpaksa memohon semula menjadi guru selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata bermula Januari tahun depan semua urusan pertukaran dan penempatan guru akan dilaksanakan secara berpusat atau One Stop Centre di Putrajaya.

“Selepas ini semua urusan pertukaran guru antara negeri hanya akan dilaksanakan di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian dan KPM sebagai urusetia dan pertukaran di dalam negeri akan diuruskan oleh Pengarah Pendidikan Negeri masing-masing,” katanya.

“Kita berharap apa yang KPM buat ini dapat menyelesaikan banyak masalah khususnya berkaitan ketidakpuasan hati di kalangan guru terutama kes “guru duka lara,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 28 May 2017 8:11 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: