Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

2,600 penguatkuasa KDPNKK pantau harga musim Aidilfitri

17 JUN: Seramai 2,600 anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ditugaskan memantau Skim Kawalan Harga sempena Aidilfitri yang bermula hari ini sehingga 30 Jun depan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pemantauan juga dibantu beberapa agensi lain serta Friends of KPDNKK.

Menurut beliau, anggota penguat kuasa akan di tempatkan di kawasan tumpuan pengguna seperti pasar besar dan pasar raya manakala agensi lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Skuad Pengguna, penghulu dan ketua masyarakat menjadi ‘mata dan telinga’.

“Friends of KPDNKK yang kini 400,000 orang juga akan membantu. Jika ada masalah timbul, mereka akan memberi aduan kepada kita,” katanya  selepas mengadakan lawatan sempena pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya 2017 di Taiping, hari ini.

Hamzah berkata tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Menerusi akta itu, individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Sementara itu,  Hamzah berkata sejak pelbagai pelaksanaan penguatkuasaan dilaksanakan, kadar kesalahan dilakukan perniaga mula berkurangan.

“Contohnya, Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 yang bermula 22 hingga 31 Mei, daripada 13, 464 premis yang diperiksa, bilangan kes adalah enam dan jumlah kompaun hanya RM900,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 June 2017 7:59 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: