Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

3 EXCO PAS: Guan Eng tunggu Azmin komen

19 MEI: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng enggan memberikan komen susulan kepimpinan PAS membuat keputusan terus mengekalkan tiga EXCO parti itu dalam pentadbiran Kerajaan Selangor.

Beliau sebaliknya akan mengulas mengenai perkara itu selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed  Azmin Ali membuat kenyataan berhubung keputusan oleh parti Islam itu.

“Saya rasa kerana Azmin masih berada di luar negara, sepatutnya lagi baik kalau beliau memberikan komennya dahulu.

“Lagipun, ini negeri beliau. Biarlah beliau komen dahulu, saya akan komen kemudian,” katanya selepas majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undang Negeri kali ke 13 di George Town pada Jumaat.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini dilaporkan berkata tiga EXCO PAS Selangor berkenaan perlu meletak jawatan selepas parti islam itu memutuskan hubungan politik dengan PKR pada minggu lalu.

Pada Khamis, PAS memutuskan ketiga-tiga mereka perlu kekal dalam Kerajaan Selangor selagi tiada arahan dari pihak istana untuk berundur.

Tiga EXCO berkenaan adalah  Datuk Iskandar Abdul Samad yang memegang portfolio Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Dr Ahmad Yunus selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Zaidy Abdul Talib sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dijangka menjadi tumpuan dalam Kongres Nasional PKR pada Ahad ini bagi membuat keputusan sama ada memecat tiga EXCO berkenaan atau membiarkan PAS kekal dalam Kerajaan Selangor.

Share This:




Berita Bertarikh pada 19 May 2017 6:13 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]