Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

300 pemandu terima lesen TITP

21 JUN: Pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen akhir bulan depan membolehkan penyeragaman peraturan syarat sewa pajak yang diselia oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pindaan itu termasuk peruntukan bagi hari habis bebas sewa untuk pemeriksaan Puspakom.

“Pindaan ini juga turut melibatkan cuti tahunan, cuti sakit, insurans kenderaan pihak pertama dan pembayaran balik deposit pada pengakhiran kontrak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan 300 lesen individu kepada kumpulan pemandu teksi kedua di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) di pejabat SPAD di Platinum Sentral di Ibu Negara hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Azharuddin Mat Sah.

Menurut Nancy, pemberian lesen teksi individu itu adalah satu inisiatif progresif kerajaan dan SPAD untuk membuka jalan bagi menyelesaikan isu serta rungutan pemandu teksi, sekali gus mewujudkan daya saing yang lebih sihat di pasaran masa kini.

Katanya, kumpulan kedua penerima lesen individu itu telah melalui proses saringan yang ketat oleh SPAD dengan kerjasama polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Jelas beliau, penerima lesen itu melibatkan 157 pemandu teksi dan 143 pemandu kereta sewa.

Kata Nancy, daripada jumlah itu, 59 peratus dari Lembah Klang dan Negeri Sembilan, 24 peratus dari Pulau Pinang dan Langkawi serta 17 peratus dari Melaka dan Johor Bahru.

“Tambahan lagi 43 daripada penerima lesen individu kali ini turut menerima geran tunai kerajaan sebanyak RM5,000 bagi membantu mereka membeli kenderaan baru.

“Geran ini adalah sebahagian daripada RM150 juta yang telah diperuntukan oleh kerajaan untuk pemegang lesen individu yang layak sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2017,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 21 June 2017 11:37 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: