Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

317 majikan didakwa tidak laksanakan gaji minimum kakitangan

1 NOV: Kementerian Sumber Manusia sentiasa memantau dan menjalankan penguatkuasaan terhadap majikan yang enggan melaksanakan gaji minimum kepada kakitangan mereka.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, sejak Julai 2016 kementeriannya menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah mendakwa 317 majikan di mahkamah kerana tidak mematuhi perintah gaji minimum selaras Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

“Daripada 317 itu, 195 kes telah selesai. Ia telah melibatkan 607 pekerja tempatan dan 180 pekerja asing.

“JTK akan terus memantau majikan bagi memastikan perlaksanaan gaji minima dipatuhi,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PKR Kuala Langat, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid pada sesi pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, Rabu.

Dalam pada itu, Ismail yang juga Ahli Parlimen Maran menegaskan, kerajaan akan membuat kajian semula terhadap perintah gaji minimum pada tahun 2018 selaras dengan peruntukan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

“Akta ini mewajibkan semakan gaji minimum akan dibuat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun.

“Dalam membuat semakan semula perintah gaji minimum, pelbagai faktor akan diambil kira termasuk sosio ekonomi antaranya kos sara hidup, kadar produktiviti, dan keupayaan majikan untuk membayar gaji minimum, kadar pengangguran dan sebagainya,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman.

Pada Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan kadar gaji minimum di Sabah dan Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan dinaikkan kepada RM920 daripada RM800 sebulan manakala di semenanjung Malaysia dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000 sebulan dan dilaksanakan pada 1 Julai 2016 lalu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 November 2017 12:26 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: