Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

36 ditahan, Hishammuddin zahirkan rasa sedih kematian Zulfarhan

2 JUN: Polis menahan 36 penuntut bagi membantu siasatan kejadian bunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang ditemui di sebuah apartmen di Sepang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata 32 penuntut adalah mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan empat lagi mahasiswa Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Katanya, semua suspek berusia antara 20 tahun dan 21 tahun itu ditahan reman selama seminggu bermula hari ini.

“Malam tadi, mangsa yang juga pelajar tahun akhir disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Serdang.

“Terdahulu, mangsa yang berusia 21 tahun dihantar beberapa rakan ke hospital itu selepas mengalami kecederaan, termasuk melecur dan lebam di badan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menzahirkan perasaan sedih atas kematian Zulfarhan yang dipercayai akibat dibuli.

Berikut kenyataan Hishammuddin yang dipetik dari Facebook rasmi beliau:

“Sedih dan pilu mendengar berita kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman bin Zulkarnain pagi ini. Terutama tatkala kita sedang fokus menjalani ibadah puasa dan ada sebilangannya pula sudah membayangkan persiapan menyambut hari lebaran.

“Tidak terbayang di benak saya keadaan keluarga arwah ketika menerima berita duka ini. Jauh di sudut hati saya berdoa agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan oleh Allah SWT atas kehilangan insan tersayang. Berat mata kita memandang, berat lagi bahu mereka yang memikul.

“Insiden kematian arwah Zulfarhan mengimbau peristiwa pahit ketika saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 2004 dahulu. Ketika itu seorang pelajar di Negeri Sembilan meninggal dunia akibat dibuli rakan sekolah. Peristiwa itu masih segar di fikiran saya dan memberi kesan yang besar. Kerana selepas kejadian itu, saya dan Kementerian Pelajaran bertungkus-lumus membanteras gejala buli di sekolah.

“Barangkali peristiwa pada tahun 2004 berbeda dengan insiden yang menimpa arwah Zulfarhan. Namun, atas apa jua alasan, siapalah kita untuk mengambil tindakan melampau sehingga mengakibatkan kematian. Saya sama sekali tidak boleh menerimanya.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan pihak Angkatan Tentera Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia untuk menjalankan siasatan dengan kadar segera bagi mengetahui punca sebenar sekaligus mengenal pasti siapa yang terlibat.

“Saya konsisten sejak dulu bahawa tiada sesiapa akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika didapati bersalah dalam kejadian seperti ini. Marilah kita sama-sama doakan semoga roh adik Zulfarhan dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan yang diredhai Allah SWT. Al Fatihah.”

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 2 June 2017 4:57 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: