Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

4 parah bas ekspres terbalik di Bukit Beruntung

5 NOV: Empat penumpang parah manakala lebih 20 yang lain cedera ringan apabila bas ekspres dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik di Kilometer 434 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Bukit Beruntung, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5 pagi itu, bas yang membawa sekurang-kurangnya 25 penumpang itu dikatakan dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke ibu negara sebelum meneruskan perjalanan ke Pahang.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata empat penumpang yang parah dihantar ke hospital berhampiran dan kini dirawat di zon merah.

“Kita belum dapat memastikan jumlah sebenar penumpang bas ekspres terbabit. Punca sebenar kemalangan masih disiasat.

“Ujian saringan air kencing dan ujian darah akan dilakukan ke atas pemandu serta pemandu kedua bas berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, pemandu bas dilaporkan cedera di muka manakala pemandu kedua cedera ringan.

Sementara itu, bomba yang menerima laporan kemalangan menghantar empat jentera bersama 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dan Rawang ke lokasi untuk kerja menyelamat.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan tersepit dan ketika pasukan bomba tiba di lokasi, sebahagian daripada penumpang yang cedera dalam kemalangan itu sudah dibawa ke hospital dengan ambulans.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 November 2017 12:25 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: