Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

4 pelajar UNITEN dibebas, sambung pengajian minggu depan

10 JUN: Empat penuntut Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) yang dibebaskan kelmarin selepas ditahan polis untuk membantu siasatan kes kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan kembali memulakan pengajian, minggu depan.

Naib Canselor UNITEN, Prof Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, dalam satu kenyataan di laman sosialnya, berkata pihak universiti bersyukur dengan pembebasan empat pelajar UNITEN itu.

Katanya, mereka dipercayai tidak terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21.

“Keluarga empat penuntut UNITEN itu sudah membawa mereka pulang dengan selamat dan mereka akan memulakan pengajian seperti biasa minggu depan,” katanya.

Mereka ditahan bersama 32 penuntut UPNM bagi membantu siasatan kes kematian Zulfarhan, pelajar jurusan kejuruteraan elektrik UPNM yang meninggal dunia pada Khamis minggu lalu dipercayai akibat didera.

Keempat-empat pelajar UNITEN itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman berakhir.

Kelmarin, Majistret Sharifah Muhaymin Abd Khalib yang hadir di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang membenarkan reman 32 penuntut UPNM disambung lima hari lagi sehingga Rabu.

Dalam kejadian berkenaan, mangsa dilapor cedera parah selepas dipercayai ditekap dengan seterika wap, disebat dengan tali pinggang serta didera oleh sekumpulan penuntut universiti berkenaan pada 20 dan 21 Mei lalu.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Serdang, kira-kira jam 10 malam pada 1 Jun lalu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 10 June 2017 4:26 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: