Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

45 saksi dipanggil bantu siasatan seleweng RM1.5b Sabah

12 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memanggil 45 saksi termasuk tujuh yang ditahan reman berhubung penyelewengan dana pembangunan infrastruktur luar bandar di Sabah membabitkan peruntukan RM1.5 bilion.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya akan memanggil saksi-saksi lain dalam tempoh terdekat ini bagi membantu siasatan.

“Kita akan panggil semua yang terlibat, termasuk sesiapa yang boleh membantu siasatan kerana isunya kita melihat lebih 70 projek di Sabah melibatkan dana peruntukan RM1.5 bilion diseleweng.

“Ini termasuk akan melakukan tangkapan cuma beri masa kepada SPRM untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Intan di Semporna hari ini.

Sementara itu, mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Warisan Sabah Junz Wong bahawa partinya bersedia disiasat SPRM, Dzulkifli berkata siasatan pihaknya bukan berdasarkan parti politik tetapi melihat kepada penglibatan salah guna kuasa dan rasuah terhadap peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk pembangunan luar bandar di Sabah.

“Lihat dari sudut tangkapan bukan anggota Parti Warisan Sabah sahaja yang ditahan. Pendirian siasatan SPRM adalah berdasarkan keterangan yang diperoleh, dan akan diperoleh tanpa melihat sudut penglibatan parti politik kerana isu rasuah dan salah guna kuasa adalah lebih daripada politik,” katanya.

Sehingga kini SPRM menahan tujuh individu terdiri daripada empat ahli politik, dua kontraktor serta seorang penjawat awam sebuah kementerian persekutuan.

Dzulkifli berkata selepas Sabah, SPRM turut memfokuskan siasatan ke negeri-negeri lain.

Share This:




Berita Bertarikh pada 12 October 2017 9:14 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]