Kategori Berita Utama

5 teras, 62 inisiatif Manifesto BN Melaka

13 APRIL: Manifesto Barisan Nasional (BN) Melaka bagi Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) yang dilancarkan malam ini, menggariskan lima teras dengan 62 inisiatif, yang memberi keutamaan kepada semua golongan masyarakat di negeri ini.

Lima teras manifesto bertemakan ‘Bersama Mencipta Kegemilangan’ ialah membela rakyat, alam sekitar terpelihara, ekonomi yang makmur, teknologi untuk semua dan tadbir urus memudahkan rakyat.

Lebih 10,000 penduduk membanjiri Dataran Keris Alor Gajah di sini, menyaksikan majlis pelancaran yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Yang turut hadir, isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah; Ketua Puteri UMNO, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan barisan kepemimpinan BN Melaka.

Manifesto berkenaan turut memberi lima tumpuan khusus sebagai teras iaitu mengangkat belia, wanita, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan masyarakat Orang Asli.

Inisiatif terbaru termasuk menyenaraikan satu janji untuk rakyat Melaka iaitu pembinaan lebuh raya pesisir pantai merentasi Kuala Linggi, Masjid Tanah dan Telok Mas seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN, Sabtu lalu.

Aku janji yang dibuat BN Melaka menerusi 62 inisiatif terbaru itu adalah rentetan kejayaan kerajaan negeri menterjemahkan 100 peratus aku janji yang berjaya direalisasikan kepada rakyat pada PRU13.

Tawaran baharu termasuk menaik taraf Hospital Melaka, membina mini Institut Jantung Negara, pembinaan sebuah insinerator, membina projek tebatan banjir dan menambah bas elektrik.

Menambah institusi pengajian tinggi, menambah bilangan laluan jejambat di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), memanjangkan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam di sini.

Melaka turut terkena tempias sebaik siapnya projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan Melaka, Johor dan Singapura.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 April 2018 10:43 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: