Kategori Ekonomi

61% kuota dipenuhi bagi naik taraf rangkaian

16 APRIL: Proton Holdings Bhd (PROTON) sudah menerima sebanyak 170 permohonan daripada pengedar sahnya untuk menaik taraf kepada pusat 3S atau 4S dalam tempoh tiga bulan lalu.

Dalam satu kenyataan, PROTON berkata, 82 daripada jumlah itu berpotensi untuk mendapat kelulusan bagi dinaik taraf.

“Setakat ini, 66 permohonan sudah dinilai dan diluluskan dan selebihnya sedang diteliti untuk memastikan mereka patuh kepada setiap syarat dan kriteria yang ditetapkan.

“PROTON berharap untuk mencapai sasaran bagi menjalankan kenaikan taraf rangkaian pengedar pada 2018 tepat pada masanya untuk pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu, dan sejajar dengan sasaran yang ditetapkan dalam fasa pelan peningkatan sehingga 2020,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PROTON berkata, model pertama yang dihasilkan bersama Geely akan dijual melalui pengedar yang mampu memberikan pengalaman premium kepada pelanggan.

“2018 adalah tahun penting untuk PROTON selepas pengambilalihan 49.9 saham oleh Geely. Syarikat sedang giat menjalankan pelbagai inisiatif secara dalaman untuk memastikan pemulihan yang berjaya dalam masa singkat.

“Dengan adanya rakan niaga baharu ini, harapan dan usaha diketengahkan dalam menaikkan nilai jenamanya, di samping meningkatkan usaha untuk mencapai matlamat bagi 109 pusat bertaraf 3S/4S sebagai langkah memenuhi kepuasan pelanggan dan pengalaman memiliki kenderaan PROTON,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, sejak menjalankan kerjasama antara PROTON dan Geely, syarikat menumpukan untuk mengoptimumkan proses dan produk sambil mencari tenaga kerja mahir baharu.

“PROTON melaksanakan inisiatif yang meneliti lapan bidang kritikal untuk memberikan hasil holistik kepada proses pemulihan.

“Antara inisiatif utama yang dijalankan adalah untuk meningkatkan kualiti secara keseluruhan pada model sedia ada.

“Penggunaan sistem pemarkahan kualiti produk Geely membantu mengenalpasti isu serta menghasilkan markah audit yang kukuh pada semua model,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, lebih banyak inisiatif dijangkakan tahun ini kerana PROTON komited untuk membina kereta yang sepadan dengan kualiti pengeluar kereta premium.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 April 2018 2:31 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: