Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

3.03 juta penerima BR1M diminta daftar, kemaskini akaun sebelum 31 Jan

3 JAN: Lebih 70 peratus daripada 900,000 penerima baharu yang dikenalpasti layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia ketiga (BR1M 3.0) pada 2014 masih belum mendaftar.

Manakala daripada 6.8 juta penerima sedia ada yang dikenalpasti layak melalui pemberian BR1M terdahulu, hanya 4.4 juta telah mengemas kini maklumat nombor akaun bank, dan baki 2.4 juta lagi belum berbuat demikian.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan meminta penerima BR1M 3.0 berkenaan segera tampil mendaftar serta jangan mengharapkan kerajaan melanjutkan tarikh pendaftaran itu.

“Sepatutnya rakyat telah belajar melalui BR1M 1.0 dan 2.0 dan tidak perlu memohon tarikh lanjutan kerana ini kali ketiga BR1M diagihkan,” katanya dalam sidang media selepas melawat kaunter BR1M di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri di Cyberjaya, Jumaat.

Daftar segera sebelum 31 Januari 2014. Pemberian akan diagih 1 Februari.

Daftar segera sebelum 31 Januari 2014. Pemberian akan diagih 1 Februari.

“Saya menyeru mereka yang layak untuk segera mendaftar dan mengemas kini maklumat sebelum 31 Januari ini bagi memudahkan mereka untuk turut menerima perlindungan caruman takaful i-BR1M,” katanya.

“Saya juga mohon 2.4 juta atau 35 peratus penerima BR1M terdahulu yang belum mengemaskini nombor akaun bank agar bertindak sebelum 31 Januari ini bagi memudahkan urusan,” katanya yang turut membuat kenyataan yang sama di laman Twitternya.

Ahmad berkata sekiranya penerima melewat-lewatkan proses pendaftaran kesannya kemungkinan perlindungan insurans i-BR1M tidak dapat diperoleh yang mana tempoh perlindungannya bermula 1 Jan hingga 31 Dis 2014.

Beliau berkata, tahun ini kerajaan menjangkakan 7.9 juta rakyat layak menerima BR1M 3.0.

Oleh itu peruntukan sebanyak RM4.5 bilion disediakan meningkat berbanding RM3 bilion ketika BR1M 2.0.

“Jumlah 7.9 juta ini termasuk 6.8 juta penerima sedia ada dan 900,000 pemohon baharu serta 200,000 ‘buffer’ (persediaan) bagi pemohon yang baru memasuki umur 21 tahun serta mereka yang mempunyai pendapatan RM4,000 ke bawah untuk tahun ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan agihan pembayaran BR1M 3.0 akan dibuat kepada mereka yang layak mulai Februari ini.

Dalam Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober lalu, isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah layak menerima BR1M RM650 dan caruman takaful i-BR1M RM50.

Manakala keluarga dengan pendapatan isi rumah antara RM3,001 hingga RM4,000 sebulan layak menerima RM450 serta caruman takaful RM50.

Individu bujang berumur 21 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan tidak lebih RM2,000 pula layak menerima RM300.-bnbbc.my

Ahmad Maslan tweet on BR1M

Twitter Ahmad Maslan mengenai BR1M 3.0 pada Jumaat.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 January 2014 9:44 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: