Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

8 bot nelayan bantu cari kru KD Perdana

22 MEI: Lapan bot nelayan laut dalam dan 10 bot nelayan kecil digerakkan hari ini bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan kru KD Perdana yang terputus hubungan sejak Sabtu lepas.

Anggota Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sedili, Bidin Sulong berkata kesemua bot berkenaan melibatkan kira-kira 70 nelayan yang sememangnya sedang berada di laut.

“Kami (PNK Sedili) menerima berita kejadian kira-kira 8.30 pagi tadi dan sehubungan itu, kami terus mengambil inisiatif menghebahkannya kepada nelayan terbabit untuk membantu dalam operasi SAR,” katanya yang ditemui pemberita di Jeti Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Sedili, hari ini.

Bidin, 57, berkata kesemua bot tersebut adalah dari kelas B dan C yang turut dilengkapi walkie-talkie serta sistem kedudukan global (GPS).

Beliau yang berpengalaman sebagai nelayan sejak 40 tahun lepas berkata, pencarian tersebut ditumpukan secara rawak dari kedudukan 29 batu nautika Pulau Aur di Mersing sehingga ke timur Desaru.

Menurut Bidin, pencarian tersebut berkemungkinan mengalami sedikit kesukaran berikutan cuaca di laut yang tidak menentu kebelakangan ini.

“Setakat ini kami masih belum mendapat sebarang perkembangan mengenai operasi berkenaan. Apa pun kita cuba membantu sedaya yang boleh,” katanya.

Menurut Bidin, terdapat lebih 1,000 nelayan di kawasan Sedili dengan seramai 574 orang daripadanya berdaftar dengan PNK Sedili.

Kapal KD Perdana milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilaporkan terputus hubungan dengan bot yang membawa Tim Menggeledah ketika mengusir bot nelayan asing di perairan Sedili, Sabtu lepas.

TLDM dalam kenyataan hari ini berkata, bot berkenaan diketuai seorang pegawai dan lapan anggota Laskar Kanan ke bawah yang melaksanakan rutin rondaan maritim di kawasan perairan negara.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 22 May 2017 6:36 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: