Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

9 projek Rumah Selangorku dibatalkan kerajaan negeri

7 FEB: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor membatalkan sekurang-kurangnya sembilan projek pembinaan Rumah Selangorku di enam kawasan Majlis Perbandaran di negeri itu termasuk Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar A. Samad, pembatalan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku semalam.

Katanya, beliau yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu memutuskan demikian selepas mendapati pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun dari tarikh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Kelulusan semua projek itu telah dibatalkan kerana pemaju gagal mendapatkan Kebenaran Merancang dalam tempoh dua tahun dari tarikh kelulusan Exco Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Tambah Iskandar, enam Majlis Perbandaran dan satu Majlis Bandaraya yang terlibat dengan pembatalan projek Rumah Selangorku ialah Majlis Perbandaran Kajang (MP Kajang) sebanyak tiga projek dan MP Selayang dua projek, manakala MP Subang Jaya, MBSA, MP Ampang Jaya dan MP Klang masing-masing satu projek.

Jelas beliau, projek itu telah diluluskan kerajaan negeri antara tahun 2014 dan 2016.

Kerajaan negeri menurutnya, menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pemantauan Rumah Selangorku memantau pembinaan dan pelaksanaan projek itu yang dianggotai Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

“Turut menganggotai jawatankuasa itu ialah wakil pejabat Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, wakil Pejabat Tanah Galian Selangor, wakil Pejabat Tanah dan Daerah terlibat serta wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat,” katanya.

Kata beliau lagi, tugas jawatankuasa itu ialah memantau status permohonan Kebenaran Merancang, Pelan Bangunan dan Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL) oleh pemaju, membuat lawatan tapak berkala ke projek dalam pembinaan, menyelesaikan isu berkaitan pembangunan yang melibatkan agensi teknikal seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor, IWK dan lain-lain serta melaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku untuk tindakan selanjutnya.

“Apabila pemaju diberi kelulusan untuk membina Rumah Selangorku oleh Exco Kerajaan Negeri, mereka diberi tempoh dua tahun untuk memulakan pembinaan.

“Kita mengeluarkan surat peringatan dan notis secara berperingkat kepada pemaju yang gagal atau lewat melaksanakan projek tersebut,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 February 2018 11:56 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: