Kategori Ekonomi

9,348 unit RUMAWIP siap, sedia diduduki

25 MAC: Sejumlah 9,348 unit rumah membabitkan 16 projek di bawah program Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), sudah siap dan bersedia untuk diduduki, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Tengku Adnan berkata, projek yang telah siap itu adalah sebahagian daripada 88,917 unit rumah yang dibangunkan di bawah program RUMAWIP, yang melepasi sasaran awal sebanyak 80,000 unit menjelang 2020.

Beliau berkata, baki 79,569 unit yang membabitkan 108 projek sedang dalam pembinaan atau perintah pembangunan.

“Komitmen yang diberikan oleh pemaju hartanah dalam pembangunan RUMAWIP boleh menjadi contoh dalam merealisasikan aspirasi dalam menyediakan perumahan yang mampu dimiliki kepada rakyat.

“Apa yang dapat saya tekankan di sini ialah, semua projek dilaksanakan tanpa membabitkan apa-apa peruntukan atau subsidi daripada kerajaan,” katanya pada majlis penyerahan kunci untuk Residensi Puchongmas, hari ini.

Residensi Puchongmas yang dibangunkan oleh Aset Kayamas Sdn Bhd adalah projek RUMAWIP ke-16.

Kediaman itu berukuran 900 kaki persegi dan terdiri daripada tiga bilik tidur dan dua bilik mandi. Ia mempunyai 524 unit pangsapuri yang dibina setinggi 34 tingkat.

Projek itu berharga RM260,000 seunit, mempunyai kemudahan moden termasuk pengawal keselamatan, kolam renang, gimnasium, tadika dan pusat asuhan kanak-kanak, kawasan rekreasi dan dewan pelbagai guna.

Tengku Adnan berkata, Residensi Puchongmas adalah projek RUMAWIP pertama yang dijual untuk tujuan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan tawaran harga RM260,00 seunit, iaitu di bawah harga pasaran.

Beliau berkata, walaupun rumah dijual pada harga yang lebih rendah, pemaju hartanah itu berjaya mengekalkan ciri-ciri dan spesifikasi rumah yang selesa dan praktikal.

“Dua lagi projek dijangka siap dalam tempoh terdekat, termasuk Residensi Razakmas dan Residensi Pandanmas 2 yang membabitkan 2,347 unit,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 March 2018 11:47 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: