Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Abang kandung mangsa dera, Nur Aina pindah sekolah

8 FEB: Abang kandung Nur Aina Nabihah Muhammad, 9, mangsa dera berusia sembilan tahun yang meninggal dunia minggu lalu, akan berpindah dari Sekolah Kebangsaan Lukut (SKL) ke sekolah lain di Kuantan.

Urusan perpindahan berkenaan dibuat sendiri oleh ibu kandung kanak-kanak tersebut yang telah hadir ke sekolah berkenaan pada Selasa.

Berdasarkan laporan media tempatan difahamkan, ibu kandung kanak-kanak berkenaan tiba di SKL sekitar jam 12.30 tengahari semalam dan meninggalkan sekolah kira-kira satu jam kemudian.

Kanak-kanak itu kini di bawah jagaan ibu kandungnya yang bertugas sebagai tentera di sebuah kem Kuantan yang mana sebelum ini tinggal bersama bapa kandungnya selepas kedua ibu bapanya bercerai.

Sebelum ini, ibu kandung kanak-kanak ini telah hadir ke Balai Polis Port Dickson kelmarin untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan polis berkenaan kes yang menimpa Nur Aina Nabihah.

Sekitar pukul 12.30 tengah malam Khamis lalu, Nur Aina Nabihah disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban selepas dia ditemui tidak sedarkan diri oleh ayahnya di kediaman mereka di Taman Vista Jaya Lukut.

Bedah siasat ke atas kanak-kanak itu mendapati dia mengalami kecederaan parah, hati koyak, putus pankreas, patah tulang rusuk kiri dan kanan serta terdapat kontusi atau lebam dalaman pada usus besarnya.

Berikutan itu bapa kandung dan ibu tirinya ditahan polis dan direman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 8 February 2018 8:57 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: