Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Abang Naib Presiden Warisan bersama 40 sertai UMNO

16 APRIL: Ketika Parti Warisan Sabah (Warisan) memainkan propaganda kononnya semakin ramai rakyat menyokong mereka termasuk ahli-ahli UMNO, hakikat yang berlaku adalah sebaliknya.

Ini terbukti apabila parti yang baru setahun ditubuhkan itu bukan sahaja gagal membina pengaruh, sebaliknya hilang kepercayaan rakyat disebabkan kegagalan pemimpin-pemimpinnya untuk mendampingi akar umbi.

Lebih menarik, Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony kehilangan sokongan daripada ahli keluarga sendiri apabila abang kandungnya, Paul Anthony, 55, bersama 40 yang lain yang merupakan ahli Pertubuhan Kadazan Durut Malaysia (KDM) Malaysia menolak Warisan dan menyertai UMNO.

Dalam majlis di Kampung Kelatuan semalam, Paul bersama Ketua KDM Malaysia cawangan kampung itu, Jessy Charlech menyerahkan sendiri kesemua borang keahlian mereka kepada Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.

Ketika ditemui, Paul berkata, adiknya terlalu sibuk berpolitik sehingga lupa menjaga kebajikan ahli keluarga sendiri yang membuktikan beliau bukanlah seorang pemimpin berkaliber seperti dimomokkan Warisan.

“Seorang adik saya iaitu Lazarus mengajak saya menyertai Warisan tetapi saya menolak kerana cukuplah apa yang dilakukan oleh Peter kepada kami selama ini.

“Kami sebagai ahli KDM sendiri tidak pernah menerima bantuan daripada Peter walaupun dia Presiden kami, semasa di dalam KDM Malaysia kami minta bantuan seperti peralatan memancing tetapi tidak pernah berjaya maka kami tidak mahu diperbodohkan lagi,” katanya.

Menurut Paul, berikutan itu, walaupun berkali-kali dipujuk menyertai Warisan mereka tetap memilih untuk bersama UMNO dan menyokong Barisan Nasional (BN) kerana parti itu telah terbukti banyak membela nasib rakyat selama ini.

Sementara itu, Anifah berkata, kumpulan berkenaan telah membuat pilihan tepat untuk menyertai BN kerana parti itu mampu membantu mereka jika ada sebarang keperluan.

“Kami menyambut baik penyertaan mereka ke dalam UMNO kerana melalui parti ini nasib setiap rakyat akan terbela.

“BN juga sudah terbukti sebagai parti yang berjaya mentadbir negara dan mewujudkan keamanan serta kesejahteraan antara kaum,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 April 2018 4:47 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: