Kategori Berita Utama

Cegah rasuah: Abu Kassim dilantik Naib Presiden IAACA

25 NOV: PANAMA CITY – Malaysia sekali lagi mendapat pengiktiran antarabangsa apabila Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilantik sebagai Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA), pada persidangan tahunan ke-tujuh yang telah diadakan di Panama City, Panama dari 22 hingga 24 November 2013.

IAACA telah ditubuhkan pada satu mesyuarat khas yang diadakan di Pejabat United Nations di Vienna pada 19-20 April 2006.

Abu Kassim mula dilantik sebagai seorang Ahli Eksekutif IAACA pada tahun 2010.

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang menjadi ahli pengasas IAACA dengan objektif menggalak dan menyokong pelaksanaan UNCAC (United Nations Conventions Against Corruption) secara lebih berkesan.

Ia sehingga kini mempunyai lebih dari 300 keahlian yang merangkumi agensi dan organisasi pihak berkuasa anti pencegahan rasuah di dunia.

abukassim1Sementara itu, Abu Kassim, 53, menyifatkan pelantikan beliau sebagai satu penghargaan bagi SPRM dan juga kepada Malaysia, yang telah memainkan peranan aktif dalam badan-badan antarabangsa yang berkaitan dengan aktiviti pencegahan rasuah.

Beliau menyifatkan perkembangan terbaru ini menunjukkan inisiatif-inisiatif pencegahan rasuah yang dijalankan oleh SPRM sejak ia dibentuk pada 2009 telah mula mendapat perhatian masyarakat luar.

Pelantikan ini merupakan pengiktirafan kedua beliau di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, pada tahun 2012 beliau telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pentadbir Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (Board of Governors of the International Anti-Corruption Academy) yang berpusat di Vienna (IACA). Akademi ini merupakan sebuah pusat pengajian tinggi anti-rasuah di bawah naungan United Nations.

Presiden IAACA Professor Cao Jianming, dalam ucapannya semasa sesi perasmian, turut memuji komitmen dan peranan yang telah dimainkan oleh Malaysia khususnya Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam IAACA dan di peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tan Sri Abu Kassim.

“Pelantikan ini merupakan satu lagi pengiktirafan masyarakat antarabangsa dan badan dunia ke atas Malaysia dan SPRM. Ia akan membawa Suruhanjaya ini ke tahap yang baru di mata dunia,” kata beliau mengulas pelantikan kali ini.

Datuk Akhbar juga berpandangan perkembangan terbaru ini menunjukkan inisiatif-inisiatif pencegahan rasuah yang dijalankan oleh SPRM sejak ia dibentuk pada 2009 mendapat perhatian masyarakat luar. Tambahnya, pengiktirafan ini juga merupakan hasil sokongan masyarakat kepada SPRM dalam usaha pembanterasan rasuah.

Senator Mohamad Ezam Mohd Nor, yang merupakan ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, berpendapat bahawa seluruh rakyat Malaysia yang menyokong usaha-usaha melawan rasuah harus berbangga dengan pelantikan ini.

“Pelantikan ini adalah satu pengiktirafan besar kepada usaha gigih SPRM bersama setiap organisasi dan individu yang turut serta bersama SPRM dalam melawan gejala rasuah di negara ini.

“Kita harus yakin kepada inisiatif-inisiatif anti-rasuah yang telah dilaksanakan. Walaupun terdapat pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan dan persepsi negatif, sudah pasti ada kelompok yang berwibawa, yang akan mengiktiraf usaha kita seperti mana yang kita lihat dalam pelantikan IAACA ini,” tambahnya.

Beliau berharap agar pengiktirafan ini akan menaikkan semangat setiap anggota SPRM untuk terus cekal menghadapi cabaran dalam perjuangan menentang rasuah.-bnbbc.my

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 November 2013 11:46 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: