Kategori Berita Utama

Kesal ada individu sengaja gagalkan projek pembangunan

19 DIS: Kementerian Wilayah Persekutan kesal dengan beberapa individu yang bersekongkol dengan pihak pembangkang untuk memburukkan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) susulan perlaksanaan projek pembangunan berhampiran Taman Rimba Kiara.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihak tertentu telah berkerjasama dengan pembangkang menyebarkan perkara yang buruk dan memanipulasikan projek pembagunan yang dirancang di kawasan itu.

“Saya difahamkan ada individu yang mungkin berminat dengan tanah yang dimaksudkan dan pihak pembangkang cuba menjadi juara dengan menyebarkan perkara tidak betul bagi memburukkan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, saya adalah orang yang bertanggungjawab dan telah saya jelaskan sebelum ini bahawa saya tak akan sentuh dan ganggu Taman Rimba Kiara,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Lebih menyedihkan, menurutnya yang lebih mesra dipanggil Ku Nan, individu yang berminat dengan tanah tersebut dan pihak pembangkang cuba mengganggu dan memberhentikan kerja pembinaan tersebut termasuklah bekerjasama dengan beberapa pihak asing.

“Untuk info, Taman Rimba Kiara tidak pernah diwartakan sebagai taman awam. Ia digunakan sebagai kawasan terbuka kepada penduduk dengan keluasan 13.3 ekar.

“Pembangunan itu tidak langsung menjejaskan atau mengambil tanah taman rimba tersebut dan dibina di atas Taman Awam berskala Besar yang telah diwartakan oleh Jabatan Landskap Negara pada 3 April 2013 dengan tidak termasuk Taman Rimba Kiara.

“Saya telah melampirkan pelan perancangan di kawasan itu kepada pemaju, saya berharap pihak mahkamah menolak permohonan pihak berkenaan. Tolonglah jangan menuduh saya dan DBKL,” katanya.

Menurutnya, pihak kementerian telah mengadakan segala proses termasuk mendengar aduan yang timbul daripada penduduk di situ sebelum bersetuju melaksanakan projek pembangunan di situ.

“Kita juga telah mengadakan rundingan dan bekerjasama dengan penduduk di situ pada 20 Julai 2017 dan 3 Ogos 2017 lalu untuk memberi penerangan yang lebih jelas dan memaklumkan bahawa Taman Rimba Kiara tidak akan terjejas dan diganggu.

Katanya, projek pembangunan di kawasan berkenaan akan menyelesaikan isu penduduk rumah panjang di kawasan berkenaan.

“Seperti yang saya katakan, tanah disitu dimajukan dan juga untuk menyelesaikan masalah penduduk yang masih tinggal di rumah Panjang sejak 30 tahun di situ.

“Penduduk kebanyakannya adalah penoreh getah di kawasan itu sebelum kerajaan membangunkan kawasan itu sebagai bandar yang dikenali sebagai Taman Tun Dr Ismail, dengan menjanjikan rumah baharu yang juga dibina di kawasan tersebut.

“Sebenarnya, isu ini telah memakan masa yang lama, sebagai Menteri yang bertanggungjawab saya cuba menyelesaikan isu ini,” jelasnya.

Menurut Ku Nan, 100 buah pangsapuri yang keluasan 850 persegi seunit akan dibina di kawasan itu dan penduduk rumah panjang akan diberikan pangsapuri tersebut secara percuma.

Untuk generasi kedua pula, akan dikenakan bayaran sebanyak RM175,000 seunit pangsapuri, dan baki unit akan dijual kepada orang ramai dengan harga RM300,000 seunit.

Pada 14 Disember lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dan pengurusan kondominium bersebelahan untuk menggantung perintah projek pembangunan bercampur di Taman Rimba Kiara, Bukit Kiara.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas mahkamah mengambil kira perbelanjaan besar ditanggung pemaju, Memang Perkasa Sdn Bhd dan Yayasan Wilayah Persekutuan selaku responden, dalam projek berkenaan.

Kamaludin berkata, ia akan menyebabkan prejudis kepada responden jika permohonan untuk menggantung projek pembangunan terbabit dibenarkan sementara menunggu prosiding semakan kehakiman bagi mencabar perintah pembangunan dikeluarkan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Mahkamah kemudian memerintahkan semua pemohon membayar kos sebanyak RM10,000 kepada setiap responden dan menetapkan pengurusan kes pada 16 Januari depan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 December 2017 5:51 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: