Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Aduan liputan telefon, internet meningkat 100 peratus

19 MAC: Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) merekodkan sebanyak 1,247 aduan bagi kategori kualiti liputan internet dan telefon pada tahun lalu berbanding 619 aduan pada 2016.

Pengerusinya, Mo­hamad Yusrizal Yusoff berkata pertambahan aduan sehingga 100 peratus turut meliputi rungutan pengguna berkaitan gangguan perkhidmatan internet diikuti masalah liputan 4G/ LTE yang kurang memuaskan di kawasan tertentu.

“Selain itu, masalah yang sering dilaporkan adalah pertikaian bil, rebat atau pemulangan wang, caj yang tidak munasabah, caj perayauan antarabangsa, dan sistem bil yang tidak memuaskan.

“Berikutan itu, per­khid­matan selular kekal menjadi kategori aduan paling tinggi bagi tempoh empat tahun berturut-turut didorong oleh peningkatan langganan perkhidmatan selular mudah alih iaitu sebanyak 42.4 juta setakat suku ketiga 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Yusrizal, fokus CFM pada 2018 adalah untuk mencadangkan pelan penambahbaikan dalam menguruskan punca utama isu yang diadukan pengguna.

“Pihak kami sentiasa berusaha untuk menjadi forum yang proaktif dan sentiasa berhubung dengan wakil-wakil pihak pembekal serta mencadangkan pelbagai inisiatif yang lebih berkesan bagi menangani isu-isu pengguna,” ujarnya.

Menurutnya, pengguna boleh mengemukakan aduan menerusi portal aduan, www.complaint.cfm.org.my, hotline 1-800-18-2222, aplikasi mudah alih MY Mobile Rights, e-mel aduan@cfm.org.my atau datang ke pejabat CFM di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Cyberjaya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 March 2018 6:28 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: