Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Aduan qazaf: JAWI bakal ambil keterangan Husni

16 NOV: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengambil keterangan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berhubung kenyataannya yang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat anak buahnya.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen PAN Sepang , Hanipa Maidin.

Hanipa di laman Facebook menulis, beliau sedang berada di JAWI untuk diambil keterangan bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad.

“Sekarang di JAWI sedang diambil keterangan oleh IO (pegawai penyiasat) bagi kes tuduhan qazaf ke atas YB Tambun (Husni).

“IO sedang tonton video rakaman ucapan YB Tambun (Husni) tersebut.

“Saya diambil keterangan oleh IO wanita manakala YB Kuala Terengganu diambil keterangan oleh seorang pegawai JAWI lelaki di bilik lain.

“Saya difahamkan ikut SOPnya selepas ini insya-Allah keterangan YB Tambun pula akan diambil,” katanya di laman sosial itu.

Ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) pada 7 November lalu membuat laporan menggesa JAWI menyiasat Husni yang menuduh Anwar meliwat anak buahnya.

Aduan itu diterima bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Husni ketika membahaskan Bajet 2018 pada 1 November lalu berkata beliau meninggalkan perjuangan Anwar selepas mendapati Ketua Umum PKR itu terlibat dengan kes liwat dengan anak buahnya.

Beliau pada ketika itu turut membidas Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini merupakan Pengerusi dan Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH).

Husni juga menyebut anak buahnya yang menjadi mangsa liwat bernama Hairani Nafis yang merupakan bekas pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kenyataan berkenaan mengundang rasa tidak puas hati di kalangan pembangkang dan mendesak Husni mengulangi tuduhan itu di luar Dewan Rakyat.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 November 2017 1:56 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: