Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

ADUN PKR secara terbuka sokong Bajet 2018 Sabah

21 NOV: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Sabah hari ini secara terbuka menyatakan sokongan terhadap beberapa projek pembangunan infrastruktur yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri yang ditadbir Barisan Nasional melalui Bajet 2018 negeri itu.

ADUN PKR Inanam, Dr. Roland Chia berkata peruntukan sebanyak RM37.5 juta untuk menambahbaik beberapa jalan yang menghubungkan Inanam dan Kota Kinabalu amat ditunggu-tunggu rakyat dan diharap dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku selama ini.

“Rakyat khasnya di Inanam tidak sabar lagi kerana ibu bapa terpaksa bangun seawal pukul 4 pagi untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerana kesesakan jalan raya di Jalan Kionsom, Jalan Putatan, Jalan Menggatal, Jalan Tuaran – Bulatan Pekan Menggatal dan Jalan Tuaran Bandar Sierra, Telipok,” katanya ketika perbahasan Bajet 2018 Sabah di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Selain peruntukan berkenaan, Dr. Roland turut menyambut baik usaha kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) menyediakan peruntukan sebanyak RM492.2 juta bagi meningkatkan kapasiti Loji Rawatan Air Telibong Fasa 2 di Inanam yang dijangka mampu menyelesaikan masalah gangguan bekalan di situ.

Katanya, sebelum ini, banyak aduan diterima daripada penduduk yang terpaksa menanggung kos untuk menyewa bilik hotel jika berlaku gangguan bekalan selain kerja-kerja harian di rumah terpaksa ditangguhkan.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri atas penambahan kapasiti ini, saya berharap warga DUN Inanam khususnya yang tinggal di persekitaran Telipok tidak akan mengalami masalah bekalan air.

“Saya menerima banyak aduan daripada warga Telipok yang terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi untuk tinggal di hotel berdekatan untuk mandi selain kerja-kerja harian membersihkan rumah dan mencuci baju ditangguhkan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Roland turut memuji perancangan kerajaan untuk mencegah banjir di Telipok melalui pembangunan skim tebatan banjir di Bandar Sierra, Sungai Tebobon dan Sungai Rampayan, Menggatal yang telah diumumkan Ketua Menteri.

“Saya menyarankan agar kerja-kerja ini dijalankan segera demi mengelakkan bencana alam banjir yang amat perit sekali yang berlaku di pekan Menggatal pada 15 Ogos lalu.

“Pekan Menggatal ditenggelami air sungai yang melimpah dari Sungai Mansiang sehingga Sungai Rampayan, jutaan nilai ringgit daripada segi harta dan perniagaan di sekitar Menggatal termusnah akibat bencana ini,” ujar beliau.

Jumaat lepas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, telah mengumumkan Bajet 2018 bagi negeri Sabah dengan mencatatkan belanjawan lebihan sebanyak RM64 juta bagi tahun 2018

Beliau berkata, bagi tahun 2018 kutipan hasil diunjur sebanyak RM4.169 bilion juta manakala perbelanjaan kerajaan bernilai RM4.104 bilion.

Perkembangan ekonomi negeri turut diunjurkan kira-kira 5.5 peratus iaitu pencapaian yang amat memberangsangkan jika dibandingkan dengan senario ekonomi global yang tidak menentu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 21 November 2017 5:25 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: