Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

ADUN kena angkat sumpah depan Mufti, SPRM

17 DIS: Dalam mengukuhkan komitmen memerangi rasuah, semua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN ) dan pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu mulai tahun hadapan dikehendaki mengangkat sumpah dengan menjunjung Al-Quran di hadapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Mufti.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, langkah berkenaan bertujuan memastikan pembuat pengakuan (yang mengangkat sumpah) bersikap jujur dan amanah menggalas tanggungjawab masing-masing.

Semua ADUN dan pegawai kanan kerajaan negeri Terengganu dikehendaki mengangkat sumpah anti-rasuah depan SPRM dan Mufti serta memegang kitab suci Al-Quran mulai tahun hadapan.

“Jika mereka hendak lakukan juga (rasuah) itu terserah kepada mereka urusan dengan Allah, yang penting kita sudah beritahu bahaya rasuah, sudah bagi penerangan dan (mengambil) langkah pencegahan yang perlu dilakukan,” kata Ahmad Said kepada pemberita pada taklimat Program Transformasi SPRM Mencegah Rasuah kepada ADUN di Kuala Terengganu pada Selasa.

Selain pendekatan terbaru itu, kerajaan negeri kata Ahmad Said akan meneruskan tradisi berhubung rapat dengan agensi penguatkuasaan seperti SPRM dan taklimat SPRM hari ini akan diperluaskan kepada pegawai kanan kerajaan serta ketua-ketua jabatan dalam waktu terdekat.

Taklimat itu adalah sebahagian komitmen kerajaan negeri Terengganu dalam menjalankan urusan pentadbiran dengan telus dan berintegriti, sekaligus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap sektor perkhidmatan awam.

Jika mereka (ADUN dan pegawai kanan) mahu melakukan rasuah juga, itu urusan mereka dengan Allah - Ahmad Said

Jika mereka (ADUN dan pegawai kanan) mahu melakukan rasuah juga, itu urusan mereka dengan Allah – Ahmad Said

“Hari ini banyak perkara disentuh, termasuk kuasa perundangan serta bentuk kesalahan rasuah dan perkara-perkara yang boleh disabitkan sebagai ‘suapan’ yang mudah berlaku dalam kehidupan seharian,” kata Ahmad yang tidak mahu berlaku sebarang kesilapan sekalipun kecil dalam urusan pentadbiran harian di kalangan ADUN yang boleh menjerat diri mereka dalam perangkap rasuah .

Taklimat kira-kira tiga jam itu disampaikan oleh Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 December 2013 7:32 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: