Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Agihan kerusi DUN Kelantan: Kamaruddin nafi PPBM dipinggirkan

12 FEB: Pengerusi Perhubungan PPBM Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Noor menafikan dakwaan seorang pemimpin akar umbi kononnya parti itu dipinggirkan dalam rundingan agihan kerusi Pakatan Harapan (PH) di negeri tersebut.

Kamarudin menjelaskan, isu mana-mana parti dipinggirkan langsung tidak berbangkit kerana rundingan itu masih berlangsung.

Beliau menjawab mengenai dakwaan Ketua PPBM Bahagian Kota Bharu, Mohd Nor Hashim Che Min Kota Bharu yang dilaporkan kecewa dan tidak berpuas hati dalam banyak isu terutama pengagihan kerusi di kawasannya dan daerah lain di Kelantan.

“Oleh kerana ia belum selesai jadi tidak timbul soal bahagian mana pinggir. Parti mana pinggir? Masih dalam rundingan.

“Memang belum selesai. Bukan Kota Bharu sahaja, banyak tempat lagi belum selesai.

“Ini soalnya oleh kerana rundingan ini tidaklah dibuat dalam pasar ya. Pasaraya ke apa. Kalau rundingan dibuat di pasaraya, semua orang boleh tengok. Jadi, ini rundingan dibuat dalam bilik. Beberapa orang yang terlibat, jadi kita tidak buat pengumuman, jadi itu yang orang fikir macam-macam,” katanya.

Terdahulu awal hari ini Mohd Nor Hashim mendedahkan isu agihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) negeri Kelantan sehingga kini masih gagal menemui jalan penyelesaian walaupun sudah melepasi tarikh akhir 7 Februari lalu.

Susulan itu, Mohd Nor Hashim yang mengetuai sayap kepimpinan PPBM Kota Bharu mengumumkan mereka sudah hilang kepercayaan terhadap parti itu dan meramalkan PPBM tidak akan menang pada PRU14.

Mohd Nor Hashim turut mendedahkan masalah yang timbul kini apabila Amanah mahu tiga kerusi Parlimen dan DUN di Kota Bharu.

Malah katanya, daerah lain juga mengalami masalah sama seolah-olah PPBM dipinggirkan sedangkan parti itu memiliki jentera yang cukup jika dibandingkan dengan PAN.

Mohd Nor Hashim berkata, isu berkenaan sudah dibawa ke peringkat tertinggi berikutan terlalu banyak masalah timbul, namun masih tiada penyelesaian menyebabkan mereka tawar hati dengan parti.

Mengulas berkenaan hal itu, Kamaruddin berkata setakat ini, belum lagi aduan berkenaan dibawa ke ke peringkat tertinggi.

“Belum juga dibawa ke peringkat tertinggi. Itu pun belum lagi,” ujarnya.

Ditanya berkenaan tarikh lanjutan berkenaan agihan kerusi gagasan itu yang masih belum mencapai kata putus di kebanyakan negeri, beliau yang juga Ketua Penerangan PPBM berkata ianya bakal ditentukan pucuk pimpinan pusat.

“Itu pucuk pimpinan parti yang akan tentukan. Peringkat pusat yang akan menentukan,” tambahnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 February 2018 10:46 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: