Kategori Berita Utama

Ahli GERAKAN diingatkan jangan sabotaj MCA demi masa depan

6 JAN: Ahli GERAKAN yang didapati mensabotaj kempen calon MCA pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal berdepan tindakan disiplin yang tegas.

Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong, ketika menyuarakan peringatan itu, berkata perbuatan sedemikian hanya memperjudikan kemenangan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, katanya, lembaran baharu politik hari ini bakal tercipta dengan menganggap setiap undi kepada MCA adalah undi terhadap GERAKAN dan sebaliknya.

Presiden GERAKAN Datuk Seri Mah Siew Keong berucap pada Perhimpunan Teguh Bersama MCA-GERAKAN di Dewan San Choon, Wisma MCA

“Percakaran antara kita (GERAKAN, MCA) hanya menguntungkan pembangkang, sekali gus mencerminkan tiada perpaduan antara parti yang mewakili rakyat Cina dalam BN.

“Oleh itu, mari kita kuburkan segala perbalahan yang mungkin wujud sebelum ini dan merapatkan ukhwah di antara MCA dan GERAKAN dalam berdepan PRU-14,” katanya disambut sorakan kira-kira 2,500 hadirin di Dewan San Choon, Wisma MCA hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Perhimpunan Bersama MCA dan GERAKAN yang julung kali diadakan.

Siew Keong berkata, perhimpunan bersama itu adalah isyarat hubungan MCA dan GERAKAN kini diberi nafas baharu dalam usaha mengakhiri tsunami sokongan pengundi Cina terhadap BN sepanjang dua PRU lalu.

“Segelintir mungkin menyifatkan MCA dan GERAKAN sebagai pesaing, namun ingin kita tegaskan bahawa kami adalah rakan seperjuangan dan adik-beradik dalam memastikan keadilan serta kesaksamaan kekal di Malaysia,” katanya.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden GERAKAN Datuk Seri Mah Siew Keong bersama pimpinan tertingi kedua-dua parti penuh semangat mengangkat tangan pada Perhimpunan Teguh Bersama MCA-GERAKAN di Dewan San Choon, Wisma MCA

Susulan sentimen kebencian yang disuntik pembangkang, Siew Keong berkata, suara masyarakat Cina semakin pudar apabila tiada wakil daripada kaum berkenaan dalam Kabinet pasca PRU-13.

Katanya, mandat daripada pengundi Cina penting dalam memastikan kaum kedua terbesar selepas Melayu itu tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.

“Sudah terbukti pembangkang hanya mampu menjanjikan bulan dan bintang ketika berkempen, tetapi menghilangkan diri serta tidak menjaga kebajikan pengundi di kawasan yang diwakili.

“Selepas dua PRU, masyarakat sedar perkara ini. Justeru kita yakin sokongan pengundi Cina akan kembali kepada BN dalam memastikan kebajikan serta masa depan mereka yang lebih terjamin,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 January 2018 2:13 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: