Kategori Berita Utama

Ahli Parlimen BN suara kebimbangan kebanjiran pelajar asing

Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mahu isu kebanjiran pelajar asing terutamanya warga Afrika di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta ketika ini diteliti dan diberi perhatian khusus oleh Kementerian Pendidikan.

Ini kerana kemasukan pelajar asing ke negara ini sedikit sebanyak memberikan kesan negatif kepada imej Malaysia seperti peningkatan kadar jenayah sekaligus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan mahasiswa tempatan dan masyarakat sekeliling.

Menurut ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, terdapat pelajar warga Afrika ini yang telah menyalahgunakan visa pelajar mereka dengan membuat perkara-perkara jenayah sehingga menimbulkan ketakutan kepada masyarakat sekitar.

pelajarasing

Kebanjiran pelajar asing yang tidak ditapis dengan teliti dikhuatiri mendatangkan masalah sosial lain.

“Kita memang mahu kolej dan universiti di dalam negara ini dihuni pelajar-pelajar luar negara kerana hendak belajar, tetapi kita bimbang mereka hanya guna pass pelajar untuk buat perkara-perkara yang tidak baik,” katanya.

“Tidak munasabah umur mencecah 40 tahun baru buat diploma. Difahamkan pelajar Afrika di Kolej Lagenda, Mantin begitu ramai sehingga menyebabkan berlakunya masalah sosial. Ini membimbangkan kita.

““Saya harap kita teliti perkara ini kerana saya khuatir anak-anak kita terutamanya yang perempuan terpengaruh dengan gejala sosial,” kata beliau ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan, Selasa.

Pendapat beliau turut dipersetujui ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang mahu kerajaan mengambil tindakan terhadap pelajar dan universiti-universiti yang tidak memberi manfaat kepada perkembangan pendidikan negara.

shamsul-anwarxx

Shamsul Anuar

“Universiti swasta ini kadang-kadang dijadikan sebagai sarang pelacuran oleh bapa ayam, mengedar dadah dan sebagainya oleh pelajar-pelajar dari afrika. Pelajar-pelajar kita dieksploitasi mengedar dadah keluar negara dengan pelbagai modus operandi.

“Perkara ini harus dikaji dan diteliti kerana universiti-universiti seperti ini tidak menguntungkan negara dan anak bangsa kita,” tegas beliau.

Bung-Mokhtar300

Bung Mokhtar

Beliau juga mahu kewujudan Open University dikaji semula kerana ianya telah menimbulkan pelbagai masalah berkaitan cara pembelajaran dan kursus-kursus yang ditawarkan.

Jelasnya, hasil pemerhatian beliau mendapati cara pembelajaran di universiti tersebut mempunyai unsur-unsur penipuan dan meragukan.

“Kita mahu jika mahu dapat degree dan sebagainya kena berusaha. Kewujudan universiti swasta ini ada yang kita panggil Open Universiti telah mengundang perbagai permasalahan. Negara kita ini seharusnya melahirkan universiti-universiti yang cemerlang dan bukannya universiti yang menawarkan kursus-kursus ada unsur penipuan.

“Open Universiti ini konvo pun tidak tiba-tiba dapat degree. Yang saya tahu kalau betul-betul nak dapat degree, master semua kena pergi kelas. Ini pun masalah juga,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan II , P. Kamalanathan ketika menggulung perbahasan memberitahu kementeriannya sentiasa memantau aktiviti-aktiviti pelajar-pelajar luar negara.

Bagaimanapun, beliau memohon kepada sesiapa yang mempunyai maklumat pas pelajar telah disalahguna memberi laporan kepada Kementerian Pendidikan dan juga Kementerian Dalam Negeri supaya tindakan dapat diambil.

“Setiap IPTA dan IPTS ada tanggungjawab sendiri untuk memastikan pas-pas yang diberi kepada mereka tidak disalahgunakan,” katanya.

“Mungkin ada segelintir pelajar-pelajar yang menyalahgunakan pas tetapi majoriti pelajar-pelajar daripada luar negara memang berniat untuk melaksanakan tanggungjawab memastikan akademik mereka cemerlang dan tamat pengajian di Malaysia.

“Mereka percaya dengan sistem pendidikan universiti-universiti yang ada di sini. Ini satu pengiktirafan yang kita terima,” kata ahli Parlimen Hulu Selangor itu. -19/11/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 November 2013 10:32 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: