Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Ahli UMNO meningkat walaupun diserang bekas pemimpin, pembangkang

7 DIS: Meskipun UMNO diserang pelbagai pihak termasuk daripada pembangkang dan bekas pemimpin UMNO sendiri, namun jumlah keahlian UMNO terus meningkat sehingga hari ini.

Membuktikan perkara itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata angka mencatatkan sebanyak 3,644,295 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,851 keseluruhannya.

Katanya, negeri Sabah mencatat jumlah ahli tertinggi dengan Bahagian Silam mewakili ahli teramai sementara Kampung Batu Putih Darat, Libaran adalah Cawangan yang mencatat jumlah ahli tertinggi

“Walaupun UMNO telah diasak dengan pelbagai tohmahan serta berdepan dengan pelbagai cabaran, namun syukur alhamdulillah kerana parti ini terus menerajui kecemerlangan, bukan sahaja dalam pembangunan dan kemajuan negara tetapi juga mempunyai jalinan hubungan dua hala yang amat baik dengan parti-parti politik serantau dan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika membentangkan Laporan Tahunan UMNO 2017 dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Khamis.

Beliau dalam masa yang sama turut melaporkan, UMNO menerima delegasi luar negara seramai 95 orang, mewakili 20 parti melibatkan 16 buah negara.

Jelas Tengku Adnan lagi, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 menjadi bukti bahawa UMNO adalah parti yang mempunyai struktur mantap, organisasi tersusun, ada Perlembagaan dan peraturan serta patuh kepada undang-undang, malah dapat menunjukkan kepada parti-parti lain termasuklah serpihan UMNO, mengenai kaedah melaksanakan mesyuarat agung mengikut perlembagaan parti, yang juga menepati kehendak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Katanya lagi, inilah satu-satunya persidangan yang menghimpunkan bangsa Melayu, dengan asas dan tujuan sebagai sebuah parti politik, yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu, demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

“Perhimpunan Agung UMNO 2017 ini bukan sahaja platform kepada anggota parti di akar umbi untuk mendengar amanat dan amanah daripada para pemimpin tetapi, persidangan ini juga adalah lambang kebersamaan dalam UMNO yang meliputi semua peringkat, dari cawangan, bahagian, negeri hinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi UMNO.

“Perjuangan UMNO terus dihayati dan bersemarak lantaran kekuatan sokongan dari ahli-ahli parti yang tidak pernah putus terhadap kepimpinan semua peringkat,” ujarnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 December 2017 11:13 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: