Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Ahmad Zahid tidak lupa ziarah rakan karib

17 FEB: Seperti tahun-tahun sudah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meneruskan tradisi mengunjungi kediaman rakan karibnya, Beh Song Wan bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang, Bagan Datuk.

Song Wan, 55, yang merupakan rakan karibnya sejak 27 tahun lalu, menyediakan hidangan seperti kari kepala ikan sembilang, udang galah, pecal, mi goreng, pulut panggang serta limau mandarin untuk Ahmad Zahid serta 200 hadirin.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk tiba kira-kira jam 10.10 pagi dan meluangkan masa setengah jam di kediaman Song Wan sambil beramah mesra dengan anggota keluarga Song Wan.

Pemimpin nombor dua negara itu turut berkesempatan menggaul ‘yee sang pecal’ bersama anggota keluarga Song Wan termasuk ibunya, Cheah Seoh Lian, 77, yang merupakan ibu angkat Ahmad Zahid.

Song Wan yang mesra dipanggil Bujang oleh Ahmad Zahid ketika ditemui media kemudian, berkata, kehadiran Ahmad Zahid amat bermakna kerana timbalan perdana menteri itu tidak pernah melepaskan peluang menziarahi keluarganya ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

“Saya seronok kerana walaupun beliau sibuk, beliau tidak pernah terlepas peluang datang menziarah kami apabila Tahun Baharu Cina. Ini kali kelima beliau datang selepas kami berpindah ke rumah baharu dan sebelum ini beliau datang ziarah ke kedai sahaja,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 February 2018 1:58 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: