Kategori Berita Antarabangsa

Ahok bersalah kerana hina Islam

9 MEI: Mahkamah Indonesia hari ini mensabitkan Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok bersalah atas dakwaan menghina Islam, dalam sebuah perbicaraan yang dilihat sebagai ujian toleransi agama di negara itu.

“Ahok didapati bersalah kerana melakukan kesalahan menghina, dan kerana itu kami menetapkan hukuman penjara dua tahun,” ujar Ketua Hakim, Dwiarso Budi Santiarto.

Lapor Agensi, pemerintah negara itu sebelum ini kerap dikritik kerana tidak melakukan tindakan yang sewajarnya untuk melindungi agama minoriti namun Presiden Joko Widodo, yang merupakan penyokong Ahok meminta semua pihak menghormati proses perundangan.

Sumber rasmi berkata, ribuan anggota polis kini ditempatkan di sekitar bandar raya tersebut untuk mengawal keselamatan sekiranya berlaku sebarang ketegangan antara penyokong Ahok dan kumpulan Islam yang sangat berharap agar Ahok dihukum atas dakwaan itu.

“Kedua-dua kumpulan akan mendapat peluang untuk melakukan tunjuk perasaan, namun kami bertanggungjawab untuk memastikan tiada pertembungan,” ujar jurucakap Polis Indonesia, Setyo Wasisto.

Ahok sebelum ini tewas dalam pusingan kedua pemilihan Gabenor Jakarta April lalu kepada pesaingnya yang beragama Islam, Anies Baswedan.

Dia akan menyerahkan tugas penting sebagai orang nombor satu Jakarta itu kepada Anies pada Oktober nanti.

Sebelum ini Ahok menafikan dirinya membuat kesalahan, namun mengemukakan permohonan maaf atas kenyataannya pada tahun lalu yang mengkritik pesaing politiknya yang menggunakan al-Quran dalam kempen.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 May 2017 2:38 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: