Kategori Berita Utama

Akses sistem pendidikan negara berjaya hapus kemiskinan

27 FEB: Rakyat diingatkan sistem pendidikan negara telah berjasa mengurangkan kadar kemiskinan dengan signifikan di mana ketika mula merdeka hanya dua peratus rakyat Malaysia yang kaya tetapi pada hari ini hanya dua peratus sahaja rakyat negara ini yang miskin.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, apabila Universiti Malaya mengambil kumpulan pertama pelajarnya pada 1959, hanya terdapat lebih sedikit daripada 300 pelajar yang mengikuti pendidikan tinggi di negara ini sebelum meningkat kepada kira-kira 4,500 pada 1967.

“Hari ini dengan meningkatnya akses kepada pendidikan, adalah dianggarkan seorang daripada empat rakyat Malaysia yang berumur antara 18 hingga 24 tahun kini melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi,” kata Najib.

KL41_270214_PM_UNITARBeliau berkata demikian semasa berucap merasmikan kampus baharu Universiti Antarabangsa Tun Abdul Razak (Unitar) di Kelana Jaya, Khamis.

Turut hadir Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Canselor Unitar Datuk Mohamed Nizam Tun Abdul Razak dan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed.

Najib berkata dengan meningkatnya kemudahan akses untuk pendidikan di setiap peringkat untuk semua rakyat ia boleh meningkatkan kemungkinan kejayaan bagi mereka yang kurang bernasib baik.

“Selama bertahun-tahun kita memerangi kemiskinan melalui pendidikan,” kata Najib sambil menambah pendidikan juga merupakan ubat mujarab untuk menangani ketaksamaan pendapatan.

“Hari ini, kita lihat ramai anak lelaki dan perempuan di kalangan keluarga nelayan, penoreh getah dan petani pulang ke kampung semasa Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali sebagai doktor, jurutera dan peguam,” katanya.

Perdana menteri juga berkata usaha memperluaskan akses kepada pendidikan perlu seiring dengan usaha meningkatkan kualiti pendidikan.

Sehubungan itu, Najib mahu universiti tempatan dan antarabangsa melibatkan diri dalam usaha ini dan menjalin kerjasama kerana inilah antara tujuan institusi seperti Unitar diwujudkan.

Beliau berkata dengan dilengkapi pendidikan, rakyat mampu menghadapi cabaran yang mendatang.

“Dan sebagai seorang yang berpendidikan ia bukan sahaja setakat memiliki ijazah tetapi lebih penting mempunyai sikap yang betul mengenai kehidupan,” katanya.

Berkenaan Unitar yang ditubuhkan pada 1997, Najib berharap universiti yang mengambil sempena nama Allahyarham ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein itu, dapat terus berkembang menjadi institusi pengajian tinggi swasta terulung berlandaskan semangat dan legasi yang ditinggalkan pencetus Dasar Pelajaran Kebangsaan itu.

“Saya bagi pihak anggota keluarga ingin mengucapkan tahniah kepada Unitar atas pelancaran kampus baharu ini dan berdoa supaya ia terus maju dalam memberi pendidikan berkualiti kepada masyarakat,” katanya.

Bangunan kampus baharu setinggi 15 tingkat yang dibina berkonsepkan mesra alam itu turut mempunyai kemudahan buat golongan kurang upaya, dan dijangka mampu menampung 8,000 pelajar.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 27 February 2014 9:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: