Kategori Berita Utama

Akta Keselamatan Siber dibentang di Parlimen

9 JUN: Akta Keselamatan Siber bagi mengekang ancaman jenayah alam maya termasuk perjudian atas talian akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau sudah menyerahkan draf berkaitan akta berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara, semalam.

“Perkara ini sudah saya bincangkan bersama Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan draf mengenainya juga sudah diserahkan, semalam.

“Pejabat Peguam Negara akan meneliti draf berkenaan sebelum ia dapat dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang,” katanya hari ini.

Terdahulu, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri meluangkan masa hampir 30 minit melawat Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.

Sebelum itu, beliau turut melawat Pusat Sehenti Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-BIKE) di bangunan berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sementara itu, Zahid berkata, pembentangan akta berkenaan akan dilakukan oleh Jabatan Perdana Menteri berikutan ianya di bawah tanggungjawab Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Yang penting bukan sahaja pembentangan akta berkenaan.

“Tetapi usaha atau fokus yang diberikan untuk menangani jenayah siber termasuk mencari ahli untuk kumpulan pengganas, pemberian dana bagi membiayai kumpulan pengganas dan juga perjudian atas talian,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 June 2017 2:31 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: