Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Alumni UiTM: Ada pihak ambil kesempatan putar kenyataan

28 NOV: Presiden Alumni UiTM, Datuk Mohamad Zaini Hassan menegaskan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah diputar belitkan oleh sesetengah pihak demi kepentingan politik peribadi.

Ini berikutan jelas Zaini apa yang ditafsirkan ternyata adalah luar daripada konteks asal ucapan Tengku Adnan.

“Bagi saya ini satu spinning satu putar belit dalam ‘out of context’. Beliau bercakap dalam satu konteks yang begitu baik dan begitu murni sebagai satu motivasi kepada para pelajar tetapi ia telah diambil dalam konteks yang amat berbeza.

“Kita faham kerana saya sendiri sebagai seorang wartawan pun pernah mengalami perkara-perkara ini bila niat kita apabila yang kita sampaikan disalah kontekskan. Jadi saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri kerana beliau sendiri sebagai seorang Setiausaha Agong parti terbesar di Malaysia sanggup menyatakan permohonan maafnya kepada kami semua walaupun perkara tersebut atau niat tersebut berbeza,” katanya dalam satu sidang media di pejabat Tengku Adnan di Menara Dato’ Onn PWTC selepas mengadakan pertemuan khas dengan Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM) berhubung isu berkenaan hari ini.

Zaini turut bertegas agar pihak luar tidak masuk campur dalam hal Alumni UiTM yang diwakili lebih 700,000 orang demi meraih apa-apa sahaja kepentingan politik peribadi mereka sendiri.

Tedahulu Tengku Adnan memohon maaf secara terbuka kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) atas kata-kata yang menimbulkan rasa tidak puas hati ramai.

Ujarnya, mungkin penggunaan perkataan ‘slow learner’ yang digunapakai oleh beliau menimbulkan rasa marah sesetengah pihak.

“Saya langsung tidak ada niat untuk merendahkan mana-mana pihak.

“Saya juga telah mohon maaf jika kata-kata saya mengguris hati sesiapa. Kepada sesiapa yang rasa terguris saya mohon maaf terhadap apa yang telah saya sebutkan.

“Apa yang saya lakukan adalah kata-kata perangsang untuk pelajar. Itu yang selalu saya lakukan. Saya beri kesedaran kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan yang memerintah selama 60 tahun ini banyak jasa yang kadang kala kita ambil mudah,” katanya dalam satu sidang media yang sama.

Mengulas lanjut Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, beliau tidak berniat untuk mengguris hati sesiapa kerana kenyataan itu hanyalah kata-kata perangsang kepada pelajar universiti bahawa mereka perlu menjadi benteng dalam memastikan negara terus aman di masa akan datang.

“Paling penting sekali adalah kerajaan sediakan kita keselamatan, kita boleh lakukan segalanya dari segi cari rezeki dan perniagaan. Itu niat saya,” katanya.

Tengku Adnan membuat kenyataan itu ketika berucap pada majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

“Anda dapat masuk universiti, kalau ‘slow learner’ (boleh) masuk ITM (UiTM). Kadang kala kalau tak dapat markah (secukupnya), markah akan diturunkan agar anda boleh masuk universiti.

“Ada kala kalau tak boleh masuk (universiti) di Malaysia, kita hantar ke luar negara. (Bila) Balik, tunjuk pandai dan marah UMNO,” katanya.

Justeru beliau berkata, mungkin ada pihak salah anggap mengenai kenyataan beliau yang pada mulanya ingin berkata bahawa UiTM ada menjanjikan peluang kedua kepada mahasiswa sekiranya tidak diterima memasuki mana-mana universiti.

“Barangkali kata-kata saya mengenai ‘slow learner’ itu orang salah anggap. Barang kali boleh sebut peluang kedua.

“Bila saya bercakap dan saya tidak tahu ada pula puak tertentu yang sengaja ambil kesempatan untuk melaga-lagakan saya dengan pihak UiTM.

“UiTM adalah satu institusi yang dibangunkan oleh kerajaan untuk membantu khususnya kepada kaum Melayu.

“Saya harap hentikan semua ini dan tidak payah kita nak bising-bising lagi. Saya sedar barangkali saya ini mulut celupar, jadi saya kena hati-hati,” jelas beliau.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 28 November 2017 2:57 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: