Kategori Berita Utama

Anak Anwar Ibrahim bantah serbuan lewat malam rumah Najib

17 MEI: Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) membantah tindakan polis menyerbu dua kediaman peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak lewat malam tadi.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar meminta polis melakukan siasatan dengan mengutamakan prinsip keadilan.

“Sebagai bekas mangsa serangan di awal pagi, saya harus tegaskan bahawa saya tidak bersetuju dengan menggeledah mana-mana rumah pada masa yang tidak sesuai,” katanya di Twitter.

Komen beliau dipercayai merujuk kepada serbuan polis di rumahnya di Bukit Damansara pada 1998 untuk menahan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad turut senada dengan Nurul Izzah.

“Perlu untuk lakukan siasatan tetapi tidak perlu untuk memalukan atau melanggar hak mereka seperti itu.

“Setelah siasatan selesai, dakwa. Tidak ada sebab untuk siasat hingga 4.00 pagi. Saya pernah sekali disiasat pada 2.30 pagi,” katanya.

Pada 2015, Khalid pernah ditahan polis bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan pada 2.30 pagi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi sebelum dibebaskan pada petang.

Awal pagi tadi, peguam Najib mengesahkan polis merampas beberapa barangan peribadi seperti beg tangan, pakaian serta hadiah dari kediaman bekas perdana menteri itu.

Bagaimanapun, Datuk Harpal Singh dilaporkan berkata tiada sebarang dokumen diambil.

Pihaknya percaya barangan itu berkemungkinan digunakan bagi tujuan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 May 2018 4:35 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: